Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :NUZULSHAM SHAMSUDDIN
Title :‘Jangan berseorangan COD barang’
Faculty :Kosmo
Year of Publication :21 Februari 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
Baru-baru ini negara digemparkan dengan tragedi seorang wanita yang ditemukan maut apabila menjadi mangsa pembunuhan kejam ketika menjalankan urus niaga hantaran tunai (COD) di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di Kuantan. Mayat peniaga makanan, Norshamira Zainal, 37, ditemukan pada pukul 12.45 tengah hari setelah 17 jam dilaporkan hilang selepas menghantar sambal ikan bilis garing kepada pelanggan yang menjadi suspek kes tersebut. Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman dilaporkan berkata, pemeriksaan ke atas mayat wanita berkenaan menemui kesan jenayah pada tubuh badannya. Menurut polis, saksi mengatakan mangsa datang ke kawasan kejadian untuk menjalankan urus niaga COD pada pukul 7.30 malam dengan difahamkan wanita itu telah dipukul dengan objek keras pada kepalanya sebelum mayatnya diletakkan di tepi sungai tersebut. Selain itu, beberapa barangan kemas bernilai lebih RM25,000 yang dipakai mangsa juga hilang. Melihat situasi kes itu, sudah tentu ia sesuatu yang membimbangkan bagi peniaga COD terutama wanita mengenai keselamatan diri mereka ketika menghantar barang pada pelanggan. Berkongsi dengan keadaan itu, Penganalisis jenayah yang juga pakar kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim, berpendapat mana-mana peniaga COD wanita sebaiknya ditemani seseorang jika menghantar barang.   “Jika peniaga COD adalah perempuan, mereka perlu ditemani seseorang sama ada kawan, suami, adik-beradik atau orang yang dikenali. Ini kerana, ketika menghantar barang pada seseorang individu sekurang-kurangnya ada keselamatannya di situ, “ kata beliau. Mengulas lanjut, Shahul Hamid berkata, sekiranya peniaga COD ditemani, individu yang berniat jahat atau berhajat melakukan perkara yang tidak baik akan berfikir dua kali untuk melakukan jenayah itu. Ini kerana, katanya, penjenayah sentiasa melihat pelbagai sudut dan mereka hanya menunggu peluang untuk melakukan jenayah. “Jika ditemani, penjenayah juga tahu orang yang menemani itu boleh menjadi pelindung atau saksi kejadian. “Justeru niat penjenayah untuk melakukan sebarang perkara tidak baik mungkin terbantut, “ ujarnya. Sementara itu bagi pengusaha bantal Norma Hashim, 43, yang telah menjalankan COD sejak lapan tahun lalu berkata, dia sememangnya membawa peneman ketika menghantar barang kepada pelanggan. “Memang setiap sekali COD barang saya akan bawa anak sebagai peneman. Kalau COD sebelah malam saya akan pergi bersama suami ,” katanya. Tambahnya, kejadian yang menimpa Allahyarham Norshamira, begitu meruntun hati perasaan semua orang apatah lagi ketika kejadian, arwah sedang mencari rezeki. Untuk rekod jenazah Norshamira, ibu seorang anak itu telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Perantau Damai Keratong 9, Bandar Tun Razak, Pahang. Terdahulu, suspek yang berusia 53 tahun itu berjaya ditahan sepasukan polis kira-kira pukul 5.30 pagi di sebuah rumah di kawasan perumahan Wakaf Tembusu Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu. Lelaki itu kemudian direman selama tujuh hari yang mana permohonan reman dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035