|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUANTAN – Suspek kes pembunuhan kejam peniaga ikan bilis garing, Norshamira Zainal, 37, yang mayatnya ditemui di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur baru-baru ini, didakwa sebagai individu yang tidak suka bercampur dengan orang lain dan tidak disenangi oleh penduduk setempat.
Difahamkan, suspek lelaki berusia 53 tahun yang kurang dikenali latar belakangnya itu juga tidak mempunyai tempat tinggal di daerah ini selain hidup sebagai gelandangan.
Seorang penduduk tempatan yang enggan dikenali berkata, suspek dikenali sebagai individu ‘merempat’ dan suka tidur merata tempat termasuk di bawah jambatan.
“Penduduk memang tidak sukakan lelaki itu dan dia memang hidup sebagai gelandangan. Sudah lama dia tiada di kampung ini dan tiba-tiba muncul beberapa hari lalu sebelum kejadian.
“Kami memang tidak suka dengan peribadinya dan tidak sangka dia terlibat melakukan perbuatan kejam sehingga membawa kematian,” dakwanya di sini semalam.
Beliau berkata, kebanyakan penduduk juga tidak begitu mengenali suspek tersebut kerana individu itu bukan jenis yang suka bergaul.
Dalam pada itu, setakat ini, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu masih belum memberi sebarang perkembangan terkini berhubung kes tersebut.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan mengenai pendedahan polis bahawa motif pembunuhan seorang peniaga ikan bilis garing adalah berpunca daripada suspek yang mahu menyamun barang kemas termasuk gelang emas bernilai RM30,000 yang dipakai wanita berkenaan.
Wan Mohd. Zahari berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan pembunuhan mangsa berusia 37 tahun itu sememangnya sudah dirancang lebih awal oleh suspek.
Beliau dilaporkan berkata, siasatan motif kejadian adalah bunuh untuk samun barang kemas mangsa yang mana modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan membuat pesanan barang jualan daripada mangsa.
Katanya ujian air kencing ke atas suspek adalah negatif, namun lelaki berusia 53 tahun itu mempunyai rekod kesalahan judi.
Susulan kejadian itu, suspek yang ditahan ketika bersembunyi di rumah anak saudaranya di Wakaf Tembusu, Gong Badak, Terengganu telah ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita ditemui mati dalam keadaan menyayat hati di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di sini minggu lalu apabila menjadi mangsa pembunuhan kejam ketika menjalankan urus niaga hantaran (COD).
Mayat Norshamira ditemui pada pukul 12.45 tengah hari selepas 17 jam dilaporkan hilang ketika keluar rumah untuk menghantar sambal ikan bilis garing kepada pelanggan yang menjadi suspek kes tersebut.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pemeriksaan menemui kesan jenayah pada tubuh badan si mati.
Difahamkan, mangsa telah dipukul dengan objek keras pada kepalanya sebelum mayatnya diletakkan di tepi sungai tersebut.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |