|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| TEMERLOH – Nama baik Temerloh sebagai Bandar Ikan Patin Sungai Pahang perlu dipelihara dengan memastikan hanya patin sangkar tempatan dan patin liar Sungai Pahang yang dijual di daerah ini.
Penyelaras Parlimen Temerloh, Datuk Ridzuan Hazimin Ramli berkata, selain itu juga semua pihak harus bekerjasama memastikan Temerloh tidak menjadi transit patin luar khususnya patin kolam yang boleh menjejaskan industri itu.
Beliau berkata, bagi menjaga ketulenan patin Temerloh beliau mencadangkan pihak berkaitan khususnya Jabatan Perikanan agar menyediakan pensijilan ke atas patin sangkar di daerah ini.
“Saya cadangkan Jabatan Perikanan membuatkan pensijilan di sangkar-sangkar ikan patin ini, mereka perlu fikirkan kaedah ini.
“Mereka perlu pergi ke sangkar ikan dan memberikan pensijilan bagi menjamin ketulenan untuk memastikan jangka masa panjang industri patin Temerloh,” katanya di sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan, Temerloh yang sememangnya menjadi lokasi popular penggemar ikan patin kini berdepan isu baharu apabila ada pihak dikatakan telah membawa bekalan ikan itu dari luar sebelum diklon dan dijual sebagai patin Temerloh.
Keadaan itu menyebabkan ada penggemar tegar patin Temerloh telah mula mempersoalkan perbezaan dari segi rasa dan keaslian hidangannya.
Ujar Ridzuan Hazimin, Temerloh yang sinonim dengan patin Sungai Pahang sejak sekian lama perlu dikekalkan kerana ia mampu menarik orang ramai dari dalam dan luar negeri.
“Sebab (patin Temerloh) bagi orang yang tahu rasanya berbeza, memang keenakan patin Sungai Pahang tiada di tempat lain.
“Sebab itu kadang-kadang ada mengadu ia rasa lumpur, semua itu bukan patin Sungai Pahang, bukan Temerloh,” katanya.
Katanya, pihak industri juga perlu memainkan peranan dalam isu ini, tidak hanya mengharapkan agensi kerajaan semata-mata kerana ia melibatkan nama baik industri patin Temerloh.
“Restoran-restoran yang menjual masakan patin, sewajarnya hanya guna patin asli Sungai Pahang atau pun Sungai Semantan.
“Kalau nama baik masakan patin Sungai Pahang ini telah tercemar pelanggan tidak pergi lagi ke Temerloh untuk menikmati kelazatan masakan patin ini,” tambahnya.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |