|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUANTAN – Ikan patin muncung mungkin dapat diselamatkan daripada pupus apabila teknologi mendapatkan DNA spesies itu bakal dilaksanakan oleh Jabatan Perikanan dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk proses pembiakan.
Ia akan mencipta sejarah baharu dunia apabila baka ikan yang sukar ditemui itu dibiakkan menerusi teknologi DNA di Frozen Zoo yang berada di Institute of Planetary Survival For Sustainable Well-Being UIAM (Planet-IIUM).
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, pihaknya bersedia mengadakan perbincangan lanjut dengan UIAM untuk meneroka potensi tersebut.
“Ikan patin muncung merupakan spesies yang sangat istimewa di Pahang. Kita bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk UIAM untuk kajian genetik dan pembiakan ikan terancam.
“Teknologi itu boleh dijadikan kerjasama dan diperkemaskan untuk dicadangkan dalam projek khusus dalam Rancangan Malaysia Ke-13,” katanya ketika ditemui pada program pelepasan benih udang galah dan sesi libat urus Ketua Pengarah Perikanan Malaysia di sini semalam.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan Frozen Zoo mempunyai teknologi bagi menyimpan DNA dan membiakkan semula haiwan yang pupus di negara ini menggunakan ibu tumpang.
Setakat ini, ia menyimpan DNA Badak Sumatera yang telah pupus. DNA ikan patin muncung boleh didapati melalui spesies yang telah mati.
Menurut Adnan, walaupun masih ada nelayan yang dapat menangkap patin muncung tetapi bilangannya tidaklah banyak seperti dahulu.
Sehubungan itu, menjadi hasrat mereka untuk mengadakan induk ikan patin muncung bagi proses pembiakan.
“Kita mengalu-alukan mana-mana pihak menghubungi Jabatan Perikanan untuk ditentusahkan jenis patin. Jika dapat jenis muncung, kita boleh berbincang dengan nelayan tersebut untuk membuat perolehan sekali gus menjadikannya sebagai induk,” katanya.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |