|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| JERANTUT – Kehidupan sepasang suami isteri yang diibaratkan kais pagi, makan pagi dan kais petang makan petang diuji apabila dua anak mereka menghidap penyakit jantung.
Mohd. Nazrul Mat Zain, 43, dan Nurul Wahida Kamarudin, 40, kini buntu memikirkan kos bagi menampung rawatan Nurul Syafiera, 13, yang mempunyai masalah saluran jantung sempit.
Seorang lagi anak mereka, Nurul Aisyah, 3, pula mengalami saluran injap jantung bocor. Selain itu mereka juga dihimpit kos perbelanjaan sekolah tiga anak termasuk Nurul Syafiera.
Biarpun diuji anak sakit, pasangan itu melakukan pelbagai pekerjaan seperti menangkap ikan sungai, menanam ubi kayu dan mencari sumber hutan untuk dijual bagi mendapatkan wang.
Nurul Wahida berkata, masalah saluran jantung sempit anaknya itu disahkan doktor Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh bulan lalu.
“Dia (anak) pernah mendapatkan rawatan ketika berusia sembilan tahun, namun pulih sekejap. Setelah memasuki usia 13 tahun, dia mula sesak nafas, cepat letih, kurang bertenaga selain tiada selera makan.
“Masalah sama terjadi ke atas anak bongsu (Nurul Aisyah) yang turut disahkan mengalami saluran injap bocor bulan lalu,” katanya ketika ditemui di Felda Kota Gelanggi Dua di sini semalam.
Menurutnya, kali pertama Nurul Aisyah mendapat rawatan injap jantung ketika berusia 15 bulan. Sejak itu pasangan tersebut kerap berulang-alik ke hospital bagi tujuan rawatan. Keluarga itu tinggal di rumah tanpa bilik yang dibina sejak 11 tahun lalu dan tidur beralaskan tikar.
Pasangan suami isteri itu menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM650 selain sumbangan barang makanan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Pahang bernilai RM200 serta RM600 bagi keperluan lain.
Orang ramai yang bersimpati dengan nasib keluarga Nurul Wahida boleh menghubungi wanita itu di talian 013-715 4171 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 156141469872.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |