|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| MENYAKSIKAN Malaysia menghasilkan robot humanoid buatan anak tempatan tidak mustahil untuk direalisasikan jika mendapat peluang dan pendedahan dalam bidang robotik.
Demi mencapai matlamat tersebut, World of Robotics Sdn. Bhd., mengambil langkah untuk penganjuran World of Robotics Championship (WRC) 2025 yang kini telah memasuki tahun ketujuh penganjuran.
Menghimpunkan 468 peserta daripada 102 buah sekolah di seluruh negara, WRC menjadi platform robotik pelajar terbesar yang saling berentap merebut kemenangan menerusi 12 kategori iaitu Rookie A, Rookie B, Modular A, Modular B, RoboBowling Junior dan RoboBowling Senior.
Kemudian kategori Puck Collector Junior, Puck Collector Senior, RoboGolf Junior, RoboGolf Senior, Circuit Challenge Junior dan Circuit Challenge Senior.
Sebagai insentif istimewa, semua pasukan juara bagi setiap kategori (kecuali Rookie A dan Rookie B) menerima tajaan tiket penerbangan oleh World of Robotics untuk mewakili Malaysia ke pertandingan robotik antarabangsa di Beijing, China pada 2026.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sektor Operasi Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia, Zainal Abas berkata, pertandingan yang berlangsung selama dua hari pada 16 dan 17 November itu menyerlahkan kemahiran dan kemampuan pelajar membangunkan robot.
“Kementerian sangat berterima kasih dengan program yang dilaksanakan saban tahun untuk memberi pendedahan kepada pelajar untuk menimba pengalaman sendiri mencipta robot dan seterusnya mempelajari bidang robotik.
“Malaysia sentiasa berusaha untuk bergerak seiring dengan negara-negara maju dengan memberi pendedahan awal kepada murid-murid dalam bidang robotik bagi mempersiapkan mereka pada masa hadapan.
“Kalau kita lihat sendiri di negara China, setiap sekolah ada makmal robotik dan saya mengharapkan program seperti ini akan memberi lebih banyak peluang pendedahan kepada pelajar untuk mempelajari tentang robotik,” katanya ketika ditemui di majlis penutup WRC 2025 di Dewan Canselor, Management and Science University (MSU) baru-baru ini.
Berbangga dengan penglibatan peserta dalam acara tersebut, Zainal bagaimanapun meletakkan harapan tinggi agar pertandingan tersebut turut disertai oleh pelajar daripada kalangan Orang Asli dan pedalaman Sabah serta Sarawak.
“Saya berasa sangat berbangga dengan semua peserta tidak mengira menang atau kalah tetapi jumlah ini masih belum cukup kerana kita ingin melihat lebih banyak lagi peserta menyertai pertandingan sebegini.
“Pelajar-pelajar dari kawasan pedalaman, pelajar Orang Asli mahupun di sekolah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) turut menyertai pertandingan ini kerana saya percaya ada dalam kalangan mereka yang berminat untuk mempelajari bidang robotik,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi World of Robotics Sdn. Bhd., Zainuren Mohd. Nor menaruh harapan besar agar industri teknologi tidak mengenepikan bahasa Melayu demi memberi laluan kepada bahasa asing.
Pada masa sama, beliau turut menyifatkan pertandingan tersebut sebagai langkah pertama untuk memulakan perjalanan seribu batu dalam bidang robotik tempatan.
“WRC bukan sekadar pertandingan tetapi satu pentas berprestij yang menyatukan tenaga, ilmu dan inovasi generasi muda sekali gus, mempersiapkan mereka berdepan dengan cabaran digital pada masa hadapan.
“Di China, robot yang mereka bangunkan menggunakan bahasa tempatan dan bukannya bahasa Inggeris. Jadi itu juga antara matlamat kami untuk menggunakan bahasa Melayu seiring era robotik.
“Saya percaya, dengan apa yang berlaku di negara China tidak mustahil untuk kita sendiri membangunkan robot yang menggunakan bahasa Melayu dan mampu terkenal juga,” katanya dalam ucapan penutupan.
Majlis penutupan tersebut turut dihadiri oleh Pendaftar MSU, Miskiah Tijan; Pengarah MSU Engage, Ruzi Bachok; Pengasas dan Pengarah Urusan World of Robotic Sdn. Bhd., Lee Yew Kein dan
Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka, Abang Haliman Abang Julai.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |