|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| ERA baharu dengan gabungan automasi, kecerdasan buatan (AI) dan pengalaman membeli-belah moden kini telah menjadi realiti.
Masyarakat kini bukan sahaja boleh membeli-belah keperluan masakan, malah mereka boleh mendapatkan makanan siap masak yang diolah oleh robot di dalam pasar raya.
Hal ini berlaku di pasar raya REWE, Dusseldorf, Jerman, di mana pelanggannya berpeluang menyaksikan satu transformasi luar biasa dalam dunia peruncitan makanan.
Buat pertama kalinya di dunia, sistem dapur robotik sepenuhnya oleh syarikat Circus SE menerusi model CA-1 Series 4 telah beroperasi di dalam pasar raya tersebut.
Inovasi oleh syarikat robotik dari Munich, Circus SE itu bukan sekadar demonstrasi teknologi canggih, sebaliknya satu anjakan paradigma dalam penyediaan makanan segar yang tidak lagi memerlukan tenaga manusia di dapur.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Circus SE, Nikolas Bullwinkel, dapur robotik CA-1 merupakan unit kompak dikelilingi panel kaca, seakan-akan sebuah dapur mini futuristik yang lengkap dengan keupayaan memasak autonomi dari awal hingga akhir.
“Ia mampu mengumpul bahan mentah, memasak, menghidang serta membersihkan peralatan selepas digunakan tanpa campur tangan manusia.
“Dapur ini beroperasi sepenuhnya menggunakan perisian AI proprietari Circus SE yang menandakan pencapaian penting dalam perkembangan automasi peruncitan dan perkhidmatan makanan,” katanya dalam portal, Interesting Engineering.
Tambahnya, dengan satu panel lutsinar, pengguna dapat melihat sendiri dua lengan robotik yang bergerak dengan ketepatan tinggi, menyenduk, mengacau, menambah perasa serta menyediakan hidangan dalam gerakan diselaraskan secara langsung oleh sistem AI.
Lebih menarik, pelanggan boleh memesan hidangan bertaraf restoran terus di dalam pasar raya dengan harga bermula €6 (RM28.80) yang dimasak secara langsung dalam beberapa minit.
Katanya lagi, CA-1 berupaya menyediakan sehingga 120 hidangan sejam, satu kapasiti yang jauh melebihi kemampuan dapur konvensional tanpa risiko keletihan atau gangguan staf.
Kecekapan itu bukan sahaja meningkatkan kelancaran operasi, malah memberi penyelesaian kepada isu kekurangan tenaga kerja dalam industri makanan.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengurusan REWE Region West, Lars Klein berkata, sistem tersebut menggabungkan kecekapan dengan keseronokan.
“Inovasi ini menjadikan pengalaman membeli-belah pada masa depan lebih menarik, sekali gus mencerminkan bagaimana segmen runcit bergerak ke arah model lebih interaktif dan berteknologi tinggi.
“Pelanggan kini bukan sekadar membeli barangan tetapi turut menikmati pengalaman unik ketika berada di dalam pasar raya,” ujarnya.
Generasi terkini CA-1 Series 4 dibina dengan struktur yang lebih ringan hampir 450 kilogram daripada versi prototaip awal.
Jurutera Circus turut memperkenalkan modul gripper magnetik yang boleh ditukar dengan mudah, sekali gus membolehkan robot mengendalikan pelbagai jenis bahan dan peralatan memasak.
Sistem induksi haba turut ditambah baik dengan keupayaan memanaskan periuk secara tepat di bahagian yang diperlukan bagi meningkatkan kecekapan tenaga serta ketepatan masakan.
Teknologi itu diperhalusi lagi dengan sensor terbina dalam yang dapat mengesan perubahan bahan secara masa nyata.
Menurut laporan TechEBlog, kelajuan mengacau turut diselaraskan secara automatik mengikut jenis hidangan untuk memastikan tekstur dan rasa sentiasa konsisten.
Selain hidangan, CA-1 juga melakukan pembersihan kendiri melalui mesin pencuci komersial terbina dalam yang mensterilkan peralatan secara automatik, sekali gus mengurangkan risiko pencemaran dan menjamin kebersihan optimum.
Dengan lebih 16,000 lokasi di seluruh Eropah, REWE merupakan antara kumpulan peruncitan terbesar di benua tersebut.
Integrasi dapur robotik itu meletakkan REWE di kedudukan depan dalam inovasi perkhidmatan makanan di pasar raya.
Circus SE mengendalikan operasi robotik, manakala REWE menyediakan ruang dan infrastruktur. Model itu dianggap berskala tinggi dan boleh diperluas ke cawangan lain pada masa hadapan.
Bullwinkel turut menyatakan bahawa pelancaran itu merupakan aplikasi sebenar pertama AI di dalam persekitaran runcit.
“Dusseldorf kini menjadi lokasi rintis pertama daripada tiga tapak perintis yang dirancang, manakala pemasangan seterusnya sedang dibina. Peluang ini membolehkan pasar raya berkembang menjadi ruang yang bukan sekadar menyediakan barang keperluan harian.
“Sebaliknya, ia juga menggabungkan pengalaman membeli-belah, menjamu selera dan teknologi automasi iaitu satu konsep yang semakin mendapat perhatian global,” kongsinya.
Ujarnya lagi, CA-1 turut disasar untuk diaplikasi dalam lokasi berkapasiti tinggi seperti hospital, universiti dan kilang.
Menariknya, pihaknya juga bekerjasama dengan program teknologi pertahanan Ukraine, BRAVE1 untuk menguji penyediaan makanan autonomi bagi kegunaan tentera di lapangan.
Usaha tersebut bagi membuktikan bahawa teknologi berkenaan mempunyai potensi melebihi industri peruncitan.
Sistem dapur CA-1 bukan sahaja meningkatkan kecekapan, bahkan dapat membantu pengurusan makanan yang lebih terkawal menerusi algoritma ramalan bagi memastikan hanya jumlah makanan diperlukan disediakan.
Langkah itu dapat membantu mengurangkan pembaziran makanan kerana global masih dibelenggu dengan masalah operasi dapur berskala besar.
Pelanggan juga boleh berinteraksi dengan robot melalui skrin sentuh atau memberi arahan suara sebelum sistem AI mengambil alih sepenuhnya proses penyediaan makanan.
Kini, masa depan industri makanan digambarkan menerusi lengan robotik cekap, pergerakan mekanikal tepat serta hidangan panas yang muncul melalui tingkap ambilan tanpa seorang pun tukang masak di dapur.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |