Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :FADILA AWALUDIN
Title :Stadium canggih boleh sorok padang bola, ‘sekelip mata’ tukar acara
Faculty :Kosmo
Year of Publication :25 November 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
MENAKJUBKAN. Itulah ungkapan paling tepat untuk menggambarkan kecanggihan teknologi Stadium Bernabeu di Madrid, Sepanyol yang bukan saja jadi gelanggang ‘pertempuran’ bola sepak, malah mampu bertukar kepada lokasi pelbagai acara seperti bola sepak Amerika, bola keranjang, tenis, konsert dan sebagainya. Dengan melakukan kerja transformasi yang digerakkan oleh kejuruteraan dan automasi berprestasi tinggi, teknologi luar biasa berjaya diterapkan pada stadium yang sebenarnya telah berusia 78 tahun itu. Proses renovasi Stadium Bernabeu yang bermula pada pertengahan 2019 telah menjalani pelbagai fasa pengubahsuaian agar dapat memenuhi keperluan pihak Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa. Ini memandangkan stadium pasukan Real Madrid yang beraksi dalam La Liga itu akan menjadi tuan rumah perlawanan akhir Piala Dunia 2030 dengan kapasiti mencecah 85,000 penonton. Identiti baharu itu telah menjadikan Bernabeu sebagai satu-satunya stadium di Eropah yang memiliki struktur penyimpanan padang berbentuk rumah hijau bertingkat di bawah permukaan tanah. Di bawah tanah stadium, terdapat ruang empat tingkat yang berfungsi sebagai rumah hijau berteknologi tinggi. Rumah hijau tersebut berfungsi untuk menyimpan rumput semula jadi di ruang utama. Hal ini kerana stadium itu bukan saja digunakan untuk bola sepak, malah ia menjadi venue acara lain seperti konsert mega, perlawanan NFL (National Football League), pameran atau acara antarabangsa.   Menariknya, padang tersebut menggunakan teknologi pengairan kendiri yang mampu menyesuaikan jumlah air berdasarkan bacaan sensor. Platform mekanikal gergasi di ruang penyimpanan pula membolehkan rumput padang diturunkan ke ruang rumah hijau sementara permukaannya digunakan bagi acara lain. Dianggarkan sekitar AS$1.6 bilion (RM7.6 bilion) dihabiskan untuk proses membaik pulih, sekali gus menjadikan Bernabeu antara stadium paling mahal pernah dibina. Pihak FCC Construccion yang bertindak sebagai kontraktor utama projek tersebut menjelaskan, keseluruhan struktur padang disokong dengan sistem kawalan iklim, lampu LED pertumbuhan rumput dan sensor kelembapan bagi memastikan permukaan padang kekal optimum. Menerusi laporan Foot Headlines, jurucakap FCC Construccion memberitahu, sistem padang boleh alih terdiri daripada empat aras ruang bagi memudahkan pergerakan. “Teknologi mekanikal ini dapat menjimatkan ruang penyimpanan, memudahkan pergerakan dan tidak memerlukan banyak tenaga manusia. “Setiap ruang asas teknikal membolehkan padang diturunkan dan dinaikkan semula dalam tempoh beberapa jam. Ini satu revolusi canggih dalam dunia kejuruteraan stadium,” katanya. Stadium yang mampu memuatkan 83,186 penonton itu meraih tumpuan dunia baru-baru ini apabila menjadi tuan rumah bagi perlawanan NFL antara pasukan Miami Dolphins denga Washington Commanders. Pasukan yang bersaing dalam liga profesional bola sepak Amerika (American football) itu telah beraksi di atas padang stadium yang berwajah futuristik. Stadium Bernabeu bukan saja ‘rumah’ buat Real Madrid, bahkan menjadi medan konsert selebriti global sepanjang tahun. Bertindak selaku arkitek binaan, wakil syarikat Estudio Lamela memberitahu, reka bentuk baharu stadium tersebut membolehkan perancangan perlawanan sukan dibuat secara sistematik. “Dalam tempoh sekelip mata, kita dapat menyaksikan perubahan daripada satu acara sukan kepada sukan yang lain. “Bukan saja bersifat fleksibel, bahkan permukaan utama (kualiti rumput) tidak menjejaskan perlawanan bola sepak,” ujarnya dalam Espanyol News. Teknologi menjadi teras kepada transformasi stadium itu, memandangkan perlawanan NFL memerlukan dimensi pandangan lebih panjang berbanding bola sepak. Tambah jurucakap Estudio Lamela, stadium itu direka dengan tempat duduk boleh tanggal di kedua-dua hujung stadium. “Untuk perlawanan NFL 2025 di Madrid, padang sintetik sementara dipasang di bahagian atas, sementara padang (utama) semula jadi diturunkan ke rumah hijau di bawah tanah. “Ruang teknikal belakang tabir turut diubah suai untuk menampung pasukan NFL yang memerlukan bilik persalinan lebih besar, ruang fisioterapi dan kawasan media bersesuaian dengan standard liga Amerika. “Sistem grafik LED dan paparan skrin digital stadium diubah sepenuhnya untuk menampilkan jenama (penaja) NFL, sekali gus memberi pengalaman hiburan sukan terhebat ke kota Madrid,” ujarnya. Banyak pihak memainkan peranan penting bagi membangunkan struktur binaan yang mempesona itu. Tidak terkecuali syarikat Hyperin yang bertanggungjawab dalam membangunkan sistem pencahayaan dan pemeliharaan padang. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hyperin, Santiago Lopez, padang Stadium Bernabeu bukan sekadar ‘ditarik’ masuk dan keluar, bahkah dijaga rapi meskipun ditempatkan di bawah tanah. Katanya, pemantauan terhadap kualiti rumput sentiasa dilakukan supaya dapat disesuaikan dengan tenaga cahaya. “Apabila di ruang penyimpanan, kami akan memeriksa permukaan padang untuk mengetahui kualiti tanah, rumput atau terdapat sebarang benda asing (serpihan sampah). “Sistem mesin mekanikal yang berfungsi untuk membawa masuk dan keluar padang juga sentiasa dikawal selia oleh jurutera supaya stadium berada dalam keadaan bersedia untuk sebarang acara,” katanya. Setiap tingkat rumah hijau dilengkapi teknologi pertanian pintar termasuk sinaran lampu ultraungu berintensiti tinggi yang menjadi simulasi cahaya matahari. Sementara itu, sistem kawalan suhu dan kelembapan turut diperkuatkan bagi memastikan rumput kekal sihat walaupun tidak terdedah kepada cahaya semula jadi. Dengan menggunakan sensor pintar, keadaan rumput dapat dipantau secara masa nyata. Transformasi itu turut membuatkan pihak stadium meningkatkan kualiti keselamatan operasi dengan melaksanakan sistem kawalan akses pintar. Tanggungjawab tersebut telah diberikan kepada pihak Salto, di mana lebih 2,500 titik akses dipasang di seluruh stadium bagi menggantikan sepenuhnya keperluan kunci mekanikal. Sistem berkenaan membolehkan pihak pengurusan memantau kakitangan dan pelawat. Selain itu, pihak pentadbiran stadium juga boleh menyesuaikan akses pelbagai zon mengikut jenis acara. Menurut Pengarah Salto, Ruben Ramos, platform kawalan capaian iaitu Salto Space digunakan secara menyeluruh bagi membolehkan kawalan kepada kunci elektronik jenis XS4 One, loker elektronik, sistem pemantauan keselamatan serta aplikasi akses mudah alih. “Dengan lebih 1,000 pengguna aktif (aplikasi) dan 50 zon operasi (ruang stadium) ditakrifkan, ia melengkapkan visi Real Madrid untuk menjadikan Bernabeu sebagai stadium pintar yang aktif 24 jam setiap hari. “Penyelesaian ini meningkatkan pengalaman pengguna, keselamatan dan kecekapan pengurusan dengan lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan. Memiliki keluasan kira-kira 52,800 meter persegi dan ketinggian lebih 70 meter dengan keluasan bumbung utama sekitar 29,000 meter persegi, Stadium Bernabeu kini menjadi seni bina ikonik Sepanyol. Bukan sekadar binaan bangunan, sebaliknya Stadium Bernabeu menjadi simbol ekosistem teknologi yang menggabungkan kemahiran kejuruteraan, seni bina dan inovasi digital seiring dengan standard infrastruktur sukan masa depan.  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035