Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :GHAZALI ALIAS
Title :Kemajuan teknologi AI paling dominan pada 2025
Faculty :Kosmo
Year of Publication :30 Disember 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
EVOLUSI teknologi global merupakan satu titik penting dalam tahun 2025 dengan pelbagai inovasi dan perkembangan baharu direalisasikan dalam dunia nyata. Elemen ini mula menunjukkan impak besar terhadap ekonomi, cara kerja manusia, kehidupan seharian dan penyelesaian kepada cabaran berskala global. Artikel dan laporan antarabangsa daripada pelbagai institusi, forum penyelidikan serta media teknologi menggambarkan bagaimana lima trend teknologi utama telah menjadi tumpuan sepanjang tahun ini. Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif StartUs Insight iaitu platform penyelidikan dan analitik teknologi global, David R. Prasser, perkembangan paling dominan pada tahun ini tentunya berkisar pada kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI). “AI telah bertukar daripada sekadar alat sokongan kepada sistem pintar yang mampu beroperasi secara autonomi biarpun banyak tugas kompleks. “Teknologi AI generatif semakin menjadi asas kepada inovasi perniagaan, pentadbiran serta penyelesaian masalah besar seperti pemprosesan data, pengoptimuman sistem dan automasi,” katanya menerusi satu penulisan dalam artikel StartUs Insight. Tambahnya, berdasarkan laporan global, AI mampu merancang, bertindak dan menyesuaikan diri menjadi salah satu teknologi utama yang membantu syarikat dan organisasi mempercepatkan keputusan strategik serta operasi pintar mereka.   AI kini digunakan bukan sahaja untuk pembangunan produk digital, malah dalam penyelidikan saintifik berskala besar dan perancangan strategik, sekali gus menunjukkan kematangan penggunaan teknologi itu dalam dunia sebenar. Sebagai teknologi yang semakin dominan, isu kawal selia AI mula menjadi perbincangan global ketika ini. Justeru itu, kepimpinan organisasi antarabangsa seperti Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) menekankan perlunya pendekatan untuk memastikan AI dimanfaatkan secara beretika dan bertanggungjawab. Usaha tersebut bagi mengurangkan risiko penyalahgunaan dan jurang sosial yang boleh terhasil daripada aplikasi teknologi berkenaan. Biarpun AI membawa banyak manfaat, namun turut menuntut kerjasama dan dasar antarabangsa yang selari untuk mengekalkan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat. Perkembangan kedua yang mencuri perhatian dunia pada tahun ini adalah lonjakan dalam teknologi rangkaian komunikasi terutama pelaksanaan rangkaian 5G dan penyelidikan awal ke arah generasi seterusnya, 6G. Berdasarkan perkongsian penyelidik di Universiti Peking, China, Wang Xingjun, pelaksanaan 5G di kebanyakan negara telah mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital dengan menyediakan jaringan berkelajuan tinggi dan kependaman rendah yang diperlukan oleh aplikasi Internet of Things (IoT), kenderaan autonomi dan operasi jarak jauh. “Di China, penyelidikan dan uji cuba besar-besaran terhadap rangkaian 6G sedang dijalankan di beberapa pusat inovasi teknologi. Ini menunjukkan potensi besar generasi seterusnya itu dalam meningkatkan kapasiti komunikasi digital sehingga 10 kali ganda daripada 5G. “Ujian awal juga menunjukkan jaringan 6G dapat menyokong aplikasi yang sangat real-time seperti pemantauan dron canggih dan sistem kawalan robot pintar secara langsung,” ujarnya. Katanya lagi, kemajuan dalam 6G bukan sahaja peningkatan teknikal dalam sambungan, sebaliknya merupakan elemen teras kepada rangkaian pintar masa depan yang akan menyokong komunikasi autonomi seperti peranti IoT, robot, sistem pintar dan infrastruktur keseluruhan dunia digital. Ini menunjukkan bahawa 2025 merupakan titik permulaan penting, di mana dunia mula bersiap sedia untuk rangkaian generasi seterusnya yang akan menghubungkan sistem secara lebih cerdas dan real-time (masa nyata). Trend ketiga yang menonjol sepanjang tahun ini adalah kemajuan dalam pengkomputeran termaju, khususnya dalam bidang komputer kuantum dan sistem pemprosesan berprestasi tinggi. Komputer kuantum yang mampu memproses data dalam jumlah banyak dilihat bukan sekadar teori, tetapi sebagai alat mempunyai potensi aplikasi komersial dalam penyelidikan saintifik dan optimasi sistem kompleks. Laporan antarabangsa menunjukkan bahawa keyakinan pelabur terhadap teknologi kuantum semakin meningkat apabila jumlah modal diperuntukkan kepada syarikat teknologi kuantum dijangka terus bertambah dalam beberapa tahun akan datang. Dalam kertas kajian oleh beberapa penyelidik di Universiti Cornell, New York, Amerika Syarikat, biarpun komputer kuantum masih belum mencapai penggunaan arus perdana, namun mereka percaya bahawa gabungan teknologi kuantum dengan alat tradisional seperti digital ‘twins’ akan mempercepatkan perkembangan sistem pintar dalam sektor tenaga, grid pintar, logistik dan penyelidikan bahan baharu. “Ini menandakan bahawa tahun 2025 bukan sahaja menyaksikan kemajuan perkakasan kuantum, malah pembangunan integrasi aplikasi nyata. “Ia juga akan mempengaruhi banyak industri dalam dekad akan datang,” ujar salah seorang penyelidik, Arianne Ornella Lemo. Kongsi Arianne lagi, perkembangan keempat yang menjadi tumpuan sepanjang tahun 2025 adalah evolusi dalam teknologi peranti pintar dan sistem realiti terimbuh, termasuk Extended Reality (XR). Integrasi AI dengan peranti mudah alih seperti komputer boleh pakai dan sistem AR atau VR membentuk pengalaman digital lebih imersif yang semakin relevan dalam latihan, pendidikan, simulasi perubatan dan kolaborasi jarak jauh. “Kajian antarabangsa menunjukkan bahawa kombinasi AI generatif dengan XR memberi potensi untuk mencipta pengalaman pembelajaran dan interaksi tidak pernah dilihat. Misalnya dalam latihan industri maya yang lebih realistik dan simulasi pendidikan canggih. “Gabungan ini membentuk satu bentuk teknologi baharu yang membolehkan manusia berinteraksi dengan data digital dalam cara lebih intuitif dan produktif. “Situasi ini dapat mempercepatkan adaptasi teknologi imersif dalam sektor pendidikan dan latihan kerja global,” tuturnya. Ini menunjukkan bahawa peranti pintar dan teknologi XR bukan hanya trend hiburan semata-mata, tetapi alat penting dalam produktiviti dan inovasi. Akhir sekali, perkembangan teknologi tenaga bersih dan robotik pintar menjadi fokus utama dalam trend teknologi sepanjang tahun ini. Menurut laporan antarabangsa, pelaburan dalam teknologi tenaga bersih seperti tenaga boleh diperbaharui, sistem bateri termaju dan grid pintar telah meningkat secara signifikan di seluruh dunia. Robotik pintar yang dipacu oleh AI dan sensor berteknologi tinggi semakin digunakan dalam sektor pembuatan, logistik dan penjagaan kesihatan bagi meningkatkan efisiensi operasi serta menyelesaikan tugas berulang atau berbahaya. Robot itu tidak hanya berfungsi sebagai mesin industri, sebaliknya sebagai alat bantu pintar yang boleh belajar daripada persekitaran dan membuat keputusan autonomi untuk menyokong operasi kompleks. Ini menandakan bahawa tahun 2025 menyaksikan kemajuan dalam automasi dan penggabungan robotik dengan teknologi pintar lain untuk menyokong sistem teknologi masa depan. Selari dengan perkembangan teknologi global, Malaysia turut mencatat kemajuan penting dalam landskap inovasi dan transformasi digital sepanjang tahun ini. Pelaksanaan teknologi AI dalam sektor perkhidmatan awam, kewangan dan kesihatan dilihat semakin meluas, termasuk penggunaan analitik pintar untuk pengurusan data, automasi proses pentadbiran serta sokongan keputusan berasaskan data. Malaysia juga memperkukuhkan ekosistem ekonomi digital melalui pembangunan bakat tempatan dan kerjasama strategik dengan syarikat teknologi antarabangsa. Dalam aspek rangkaian dan infrastruktur digital, perluasan liputan 5G di kawasan bandar dan industri telah mempercepatkan penggunaan teknologi pintar dalam pembuatan, logistik dan bandar pintar. Inisiatif pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut menunjukkan kemajuan positif apabila lebih banyak perniagaan tempatan mengadaptasi automasi, e-dagang dan penyelesaian awan. Malaysia juga memperlihatkan komitmen terhadap teknologi tenaga bersih dan kelestarian dengan peningkatan pelaburan dalam tenaga solar, penyelidikan bateri dan pembangunan kenderaan elektrik. Gabungan inovasi tempatan dengan teknologi global telah meletakkan Malaysia sebagai antara negara yang aktif menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dunia. Langkah ini selari dengan aspirasi negara untuk menjadi hab digital dan teknologi di Asia Tenggara.  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035