|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| “TERAPI bermaksud apa-apa sahaja yang boleh membantu kita untuk melupakan keresahan atau tekanan seharian.
“Ada orang memilih untuk berbelanja, tidak kurang juga bersukan atau melakukan apa sahaja yang menggembirakan.
“Bagi landskap berciri terapi pula, ia tidak semestinya memerlukan satu kawasan yang luas. Cukup ruang kecil di kawasan rumah ada ciri-ciri yang boleh membuatkan kita tenang, itu dinamakan ruang terapi.”
Itu perkongsian awal penyelidik dan arkitek landskap yang juga merupakan Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Siswazah di Fakulti Rekabentuk dan Seni Bina (FRSB), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof, Madya Dr. Shureen Faris Abd. Shukor mengenai makna ruang terapi bagi dirinya.
Merupakan pakar seni bina landskap dan menerajui bidang reka bentuk kawasan rekreasi hijau berciri terapi sejak 1995, pelbagai sumbangan dan jaringan antarabangsa dilakukan pendidik berusia 53 tahun ini.
Lebih membanggakan, Dr. Shureen juga telah menerbitkan 40 penulisan saintifik termasuk jurnal dan lebih 200 artikel di akhbar berkisar landskap berciri terapi.
Shureen juga merupakan satu-satunya penyelidik dari Malaysia yang terlibat dengan International Union of Forest Research Organization (IUFRO) yang berpusat di Austria dalam menghasilkan buku mengenai perancangan hutan berciri terapi yang menyumbang kepada kesihatan mental dan fizikal.
Mengenai projek harta intelek yang pernah dibangunkan antaranya ialah membina reka bentuk lampu dinamakan Fractal Lights. Ia dicipta dengan gabungan sains dan seni untuk menghasilkan pencahayaan yang menjurus kepada terapi.
Hasil kerjanya itu disenarai pendek dalam anugerah berprestij Arts Science Prize anjuran Akademi Sains Malaysia pada 2020.
Fractal Light ini mengemukakan hipotesis bahawa dengan melihat corak fraktal yang dipancarkan melalui cahaya, suasana yang terhasil dapat mengurangkan tahap kemurungan dan kebimbangan dalam kalangan pesakit yang didiagnosis dengan gangguan kesihatan mental.
Cahaya fraktal ini bertujuan menjadi sebahagian daripada persekitaran klinikal masa hadapan di hospital-hospital Malaysia serta menyokong perkhidmatan terapi bagi individu gangguan kesihatan mental.
Menerangkan lanjut mengenai Fractal Lights kepada K-Kampus, Shureen berkata, ia berpotensi meningkatkan suasana sedia ada di hospital-hospital di Malaysia, khususnya dalam aplikasi pencahayaan di persekitaran dalaman bilik rawatan.
“Imej geometri fraktal tertentu yang ditemui dalam alam semula jadi berpotensi menyumbang kepada bidang kajian pengurangan tekanan mental dan seterusnya bagaimana corak-corak ini boleh diaplikasikan dalam reka bentuk persekitaran sekeliling kita.
“Lapan corak cahaya fraktal yang dipilih (rabung gunung, karang, urat daun, permukaan air, tisu tulang, kubis, insang cendawan dan tisu tumbuhan) telah menerima hak cipta pada tahun 2018,” kongsi anak kelahiran Kepala Batas, Pulau Pinang itu.
Menyentuh mengenai bidang terapi landskap, segalanya bermula pada tahun 1995 apabila ketika itu dirinya perlu mencari satu topik untuk projek akhir semasa pengajian bachelor Seni Bina
Landskap di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai.
“Saya terbaca mengenai satu artikel bagaimana reka bentuk landskap boleh membantu pesakit mengurangkan tekanan semasa berada di sebuah hospital kanak-kanak di Amerika Syarikat.
“Pada masa itu, saya masih tiada projek akhir dan pemahaman mengenai landskap terapi. Kebanyakan rujukan dari luar terutama Amerika Syarikat.
“Tamat pengajian di UTM, saya berkhidmat sebagai perunding dan arkitek landskap di beberapa syarikat sampailah tahun 2001.
“Apabila menyertai UPM, saya teruskan dengan topik tersebut (terapi landskap) untuk pengajian Master Sains dengan mengkaji taman baik pulih untuk kanak-kanak Sindrom Down. Sejak itu saya mula menulis di akhbar mengenai tajuk ini dan mula mengajar dalam bidang tersebut,” tuturnya panjang lebar.
Jelas ibu kepada dua cahaya mata ini, bermula 2009, dia mendalami ilmu mengenai terapi landskap dengan menyambung pengajian dalam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di University of Copenhagen di Denmark.
“Ketika itu saya memilih untuk menyiapkan tesis dengan mengkaji lima buah hospital di sana (Denmark) untuk mengetahui ciri-ciri landskap terapi.
“Hasilnya, saya telah mencadangkan alat yang dipanggil Common Design Recommendations (CDR) yang boleh dijadikan panduan oleh sesiapa sahaja untuk mereka bentuk kawasan luaran hijau berciri terapi,” katanya.
Tamat pengajian dan menerima gelaran Doktor Falsafah pada 2013, Shureen pulang ke tanah air dan menabur bakti di UPM sebagai penyelidik serta meneruskan penyelidikan dengan skala lebih besar.
“Penyelidikan saya tidak hanya dibataskan kepada satu skop reka bentuk landskap kepada masyarakat secara am.
“Tetapi kajian saya memberi fokus kegunaan ruang hijau kepada golongan khas seperti pesakit kanser, jantung, obesiti, penduduk yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR), ibu mengandung, orang tua, mereka yang kurang deria seperti penglihatan, pendengaran dan sebagainya,” katanya.
Lebih manis beritahu Shureen, ketika menyiapkan PhD, dia telah menghasilkan sebuah buku dalam Bahasa Melayu berjudul Cerita Laman Kehidupan dari Copenhagen yang diterbitkan pada 2017.
Buku tersebut yang mengandungi kupasan ruang hijau dan elemen bandar dilihat boleh mengubah persepsi ramai terhadap Denmark.
Membanggakan lagi, naskhah itu telah dijadikan sebagai buku cenderamata rasmi oleh Kedutaan Denmark di Kuala Lumpur.
Pada tahun lalu, Shureen diberi kepercayaan mewakili Malaysia dan profesion arkitek landskap untuk bersama dengan penyelidik terkemuka dunia di IUFRO berpusat Vienna, Austria.
Menurutnya, ia adalah penghargaan yang tertinggi kepadanya kerana diberikan peluang bersama sekumpulan pakar reka bentuk perhutanan sedangkan dirinya lebih menjurus kepada seni bina landskap.
“Ini membuka peluang kepada saya mempelajari banyak ilmu. Pada masa sama menganggap ia sebagai cabaran, meskipun pada permulaannya wujud sedikit keraguan dengan kemampuan diri sendiri.
“Hasil kerjasama ini, satu buku mengenai polisi bagaimana hendak menjadikan kawasan hutan sebagai terapi berjaya dihasilkan,” katanya.
Jelas Shureen, uniknya Malaysia memiliki banyak hutan, namun tidak digunakan sebagai ruang terapi seperti dilakukan banyak negara lain misalnya Poland, Denmark dan China.
Ujarnya, tiga hutan rekreasi di Lembah Klang antara contoh ‘landskap terapi hutan’ yang berpotensi dibina di negara ini sebagai ruang terapi untuk kesejahteraan kesihatan masyarakat. Ia adalah
Taman Tugu Negara, Taman Eko Rimba Kuala Lumpur (dalam Hutan Bukit Nanas) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong.
“Tiga lokasi ini menjadi tumpuan ramai kerana kedudukannya yang strategik berada di bandar dan mudah diakses.
“Terapi hutan kini dianggap sebagai salah satu keperluan untuk kesejahteraan kesihatan masyarakat kerana kehidupan moden menambah tekanan dan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan,” katanya.
Justeru gesanya, kerajaan perlu menyokong pembangunan landskap terapi hutan termasuk menyediakan sejumlah peruntukan.
Hal ini supaya lebih banyak pembangunan landskap terapi hutan dapat dilaksanakan di Malaysia yang lengkap dengan kemudahan asas dan akses.’
Sebagai pensyarah dan Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Siswazah juga Shureen banyak melakukan kolaborasi bersama universiti-universiti lain antaranya telah mengadakan perbincangan bersama Dekan Pengajian Siswazah Institut Pertanian Bogor, Indonesia, Prof. Dr. Dodik Ridho dan Dekan Pengajian Siswazah UPM, Prof. Dr. Zalilah pada 8 Ogos lalu.
Ia bagi memperincikan Memorandum Perjanjian (MOA) antara kedua-dua universiti dalam menawarkan program ijazah berkembar bagi peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) secara penyelidikan kelak.
Terbaharu kongsi Shureen, bertarikh 4 November lalu, buku Urban Development of Warsaw hasil kolaborasi penulisan bersama penyelidik dari University of Warsaw, Poland telah dilancarkan di Muzium Universiti Warsaw.
Perasmiannya telah disempurnakan oleh Duta Malaysia di Poland iaitu Datuk Azri Mat Yacob.
“Buku ini bermula dari rakan sekerja di UPM iaitu Dr. Marek Kozlowski yang berasal dari Poland. Dek kerana hubungan baik saya dengan kedutaan serta rakan-rakan lain di Poland, Dr. Marek telah menjemput saya untuk hasilkan buku mengenai sejarah serta perubahan yang dialami Poland yang mengalami kemusnahan teruk akibat beberapa peperangan.
“Buku yang bercerita mengenai reka bentuk bandar ini juga telah membuat perbandingan antara bandar Warsaw dan Kuala Lumpur. Buku ini diterbitkan oleh Penerbit UPM dan mengambil masa kira- kira dua tahun untuk disiapkan,” katanya.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |