Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :GHAZALI ALIAS
Title :AI perkasa tradisi hafazan al-Quran
Faculty :Kosmo
Year of Publication :23 Disember 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
DALAM dunia moden yang dipacu oleh teknologi canggih, tradisi dan inovasi sering dianggap bertentangan.  Namun, dalam konteks pendidikan Islam, khususnya hafazan al-Quran, gabungan kedua-duanya sebenarnya membuka ruang pembaharuan yang besar. Sejak wahyu pertama diturunkan di Gua Hira’, tradisi hafazan telah menjadi teras pemeliharaan al-Quran, diwarisi secara turun-temurun oleh para sahabat dan generasi selepas mereka sebagai benteng keaslian kalam Ilahi. Menurut Pensyarah di Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Monika @ Munirah Abd Razzak, sejarah membuktikan bahawa umat Islam tidak pernah menolak kemajuan.  “Dari Madinah hingga ke Andalusia dan Nusantara, sistem hafazan berkembang seiring dengan kemajuan ilmu dan peradaban.  “Para huffaz bukan sekadar mengingati ayat, malah berperanan sebagai penjaga wahyu dan penyambung rantai ilmu,” katanya menerusi perkongsian artikel dengan K-Tekno baru-baru ini. Tambahnya, dalam dunia hari ini yang serba pantas, tradisi ini berdepan pelbagai cabaran seperti kekangan masa, kekurangan guru tahfiz dan perubahan minat generasi muda yang lebih cenderung kepada teknologi digital.   Katanya lagi, dalam menghadapi realiti ini, kecerdasan buatan (AI) muncul sebagai satu pendekatan baharu yang berpotensi memperkasa hafazan al-Quran.    Teknologi AI berfungsi sebagai alat sokongan yang membantu pelajar mengulang bacaan, membetulkan tajwid dan menilai ketepatan sebutan melalui sistem pengecaman suara dan pembelajaran mesin. Kesalahan bacaan seperti mad, qalqalah dan idgham dapat dikesan secara automatik, sekali gus membantu pelajar memperbaiki kelemahan dengan lebih berkesan  “Kelebihan utama penggunaan AI ialah fleksibiliti pembelajaran. Pelajar tidak lagi terikat dengan jadual kelas tertentu dan boleh mengulang hafazan pada bila-bila masa menggunakan telefon pintar atau peranti digital.  “Pendekatan ini sangat membantu pelajar di kawasan luar bandar atau pedalaman yang kekurangan akses kepada guru tetap,” ujarnya. Kongsinya lagi, aplikasi interaktif yang mengandungi elemen permainan, ganjaran dan tahap pencapaian menjadikan proses hafazan lebih menarik dan selari dengan minat generasi muda. Walau bagaimanapun, para pendidik menegaskan bahawa teknologi tidak boleh menggantikan peranan guru sepenuhnya.  Hafazan al-Quran bukan sekadar latihan minda tetapi proses pembentukan rohani, adab dan akhlak.  Tradisi talaqqi secara bersemuka membawa keberkatan yang tidak mampu ditiru oleh mesin. Oleh itu, AI perlu dilihat sebagai alat pelengkap yang mengukuhkan hubungan antara guru dan pelajar, bukan sebagai pengganti. “Di Malaysia, penerapan AI dalam pendidikan tahfiz membuka potensi besar untuk mengangkat martabat pendidikan Islam ke peringkat global.  “Beberapa institusi telah mula membangunkan aplikasi pengecaman suara al-Quran dan kurikulum tahfiz berasaskan teknologi, selari dengan integrasi ilmu naqli dan aqli,” jelasnya. Ujarnya lagi, jika dilaksanakan dengan panduan syariah yang jelas dan etika yang ketat, pendekatan hibrid ini mampu menjadi model pendidikan Islam moden yang berkesan. Kesimpulannya, gabungan tradisi hafazan al-Quran dan inovasi teknologi wajar disambut dengan kebijaksanaan.  Kecerdasan buatan bukan ancaman, sebaliknya peluang untuk memastikan warisan suci ini terus hidup dan relevan.    Apabila kecerdasan teknologi digandingkan dengan kecerdasan hati, dunia tahfiz akan terus melahirkan generasi yang celik ilmu, kukuh iman dan berakhlak mulia.    
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035