Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :FADILA AWALUDIN
Title :Inovasi tenaga solar estetik dengan guna 3,055 liter air
Faculty :Kosmo
Year of Publication :23 Disember 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
TRANSFORMASI teknologi menyaksikan pelbagai inovasi berjaya dibangunkan dalam pelbagai industri sesuai dengan era digital masa kini. Perubahan itu termasuk kecanggihan tenaga boleh diperbaharui apabila seorang arkitek Jerman, Andre Broessel memperkenalkan inovasi bola kristal lutsinar yang berupaya menjana tenaga menerusi janaan kuasa solar. Berbentuk sfera dan dinamakan Rawlemon Spherical, inovasi tersebut terbahagi dua kategori iaitu Beta.ray yang berfungsi sebagai penjana solar berkuasa tinggi seperti kegunaan di rumah atau mengecas kereta elektrik, manakala Beta.ey pula untuk peralatan elektrik berskala kecil. Inovasi ini dilihat mampu menggantikan kepingan panel solar besar yang menjadi kebiasaan untuk penjanaan kuasa solar konvensional. Menarik perhatian khalayak adalah saiz Beta.ray yang memiliki diameter sekitar 1.8 meter atau enam kaki bak sebuah bola gergasi. Beta.ray dibangunkan sebagai fungsi sumber kuasa yang praktikal dan memanfaat tenaga dari matahari dan bulan secara maksimum. Bukan sahaja reka bentuk yang estetik, Beta.ray menggabungkan seni bina dan sains tenaga dalam bentuk sfera unik yang bertindak sebagai pengumpul cahaya sekali gus memfokuskan tenaga matahari ke panel solar mini yang dilengkapinya.   Pendekatan itu boleh mengurangkan luas permukaan sel silikon kepada hanya 25 peratus yang pada masa sama mengekalkan output kuasa setara dengan sistem penumpuan tradisional. Kaedah ini sekali gus meningkatkan kecekapan penjanaan tenaga hampir 57 peratus. Memetik Eco Portal, Broessel memberitahu reka bentuk sfera menyokong cogan kata masa depan iaitu ‘ketelusan’. Penampilan Beta.ray berbeza berbanding panel fotovoltaik rata yang biasa kerana memiliki elemen seni moden, estetik dan boleh dipasang di pelbagai lokasi seperti taman, halaman rumah dan ruang awam. Dibangun oleh syarikat tenaga suria inovatif Rawlemon Ltd, Beta.ray memiliki sistem pengumpul hibrid yang membolehkan penukaran tenaga elektrik dan haba secara serentak. Bola itu turut boleh bertindak sebagai lampu berkuasa tinggi pada waktu malam yang menjadikan ia tetap boleh digunakan walaupun selepas matahari terbenam. MENURUT Broessel keupayaan Beta.ray untuk menghasilkan tenaga pada waktu malam membuatkan ia berbeza berbanding sistem panel solar konvensional. “Teknologi ini bukan sahaja sumber tenaga harian, tetapi juga menjadi pelengkap pada bangunan dan stesen tenaga luar grid (off-grid). “Sistem ini juga sesuai untuk meningkatkan penggunaan elektrik dan mampu menyokong penggunaan pemanasan air termasuk bertindak sebagai stesen pengecasan kenderaan elektrik. “Sifat fleksibiliti Beta.ray membolehkan ia diintegrasikan ke dalam pelbagai infrastruktur tenaga moden,” katanya. Jelasnya bola kristal gergasi itu berfungsi dengan dimasukkan air ke dalamnya dan sebanyak 3,055 liter air digunakan.   Fungsi utama air dalam sfera Beta.ray itu adalah bertindak sebagai kanta penumpu cahaya. Cahaya matahari yang masuk melalui sfera akan dibiaskan (bengkok) oleh air dan ditumpukan kepada satu titik fokus dipanggil titik cahaya. Kemudian tenaga yang disalurkan pada titik cahaya akan beralih kepada panel solar kecil (sel solar multijunction) sehingga membuatkan cahaya tersebut dapat ditumpukan sehingga 10,000 kali ganda penumpuan cahaya (concentration). Air dalam Beta.ray juga memainkan dua peranan iaitu optik yang bertindak menumpukan cahaya ke panel solar untuk elektrik, manakala terma pula menyerap haba matahari. “Memandangkan cahaya tersebut dapat ditumpukan sehingga tahap 10,000 kali ganda, panel solar yang kecil dapat menjana elektrik dengan sangat efisien. “Selain menghasilkan elektrik menerusi panel solar, Beta.ray juga berfungsi sebagai penjana haba solar kerana sambil air dalam sfera bantu memfokuskan cahaya, air tersebut menyerap haba daripada sinaran inframerah matahari. “Justeru haba yang terkumpul dalam air boleh disalurkan keluar melalui sistem penukaran haba (heat exchanger) dan tenaga ini boleh digunakan untuk memanaskan air bagi kegunaan domestik (seperti mandian air panas atau pemanas ruang),” katanya. Gabungan kedua-dua fungsi itu membolehkan Beta.ray mengekstrak lebih banyak tenaga daripada cahaya matahari berbanding panel solar rata biasa yang hanya menukar cahaya kepada elektrik tanpa mengambil kira tenaga haba. Broessel turut mendakwa ciptaannya mampu menghasilkan tenaga pada waktu malam dengan menggunakan cahaya bulan yang diserap oleh air. “Bertindak sebagai sumber tenaga tambahan, walaupun output (jumlah tenaga) dihasilkan lebih rendah berbanding siang hari, namun teknologi itu mampu membuka jalan kepada kemungkinan sumber tenaga semula jadi yang dapat memberi manfaat secara 24 jam. “Binaan prototaip ini mampu menghasilkan purata tenaga harian sekitar 3.4 kWh sehari sementara output kuasa elektrik pula sehingga 560 watt kuasa elektrik. “Dianggarkan sekitar 890 watt tenaga haba diperoleh daripada output tenaga terma. Bagaimanapun jumlah tenaga dihasilkan bergantung kepada keadaan cuaca,” ujarnya. Meskipun memiliki manfaat yang hebat, namun sejak idea itu dibangunkan sekitar tahun 2012 dengan pelbagai saiz prototaip Beta.ray kekal sebagai prototaip dan bukan menjadi produk komersial. Malah, pada peringkat awal teknologi tersebut berjaya meraih Anugerah Inovasi di World Technology Network Award 2013. Difahamkan punca Beta.ray gagal direalisasikan secara komersial dipercayai kerana syarikat Rawlemon Ltd. dilaporkan mengalami masalah operasi dan menghentikan operasi sekitar 2016. Meskipun teknologi tersebut boleh dikatakan ‘tidak wujud’ dalam pasaran, tetapi inovasi diperkenalkan Broessel menarik perhatian dunia dan menyifatkan sebagai harapan masa depan. Sehingga ke hari ini, banyak pihak masih membincangkan tentang teknologi tersebut yang seharusnya sudah tiba masa untuk dibangunkan. Sekumpulan pemerhati teknologi baru-baru ini turut mengharapkan akan ada pihak yang berani mengambil risiko memecah tradisi tenaga solar konvensional kepada ciptaan lebih moden dan canggih seperti dilakukan Broessel.  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035