Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Bernama
Title :Pekebun durian Raub tarik balik rayuan kes notis pengusiran
Faculty :Astro AWANI
Year of Publication :04/12/2025 19:20 MYT
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
PUTRAJAYA: Pertikaian undang-undang antara pekebun durian Raub, Kerajaan Negeri Pahang dan beberapa agensi berhubung notis pengusiran berakhir hari ini selepas para pekebun menarik balik rayuan mereka. Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Lim Chong Fong membatalkan rayuan itu selepas peguam pekebun terbabit Brendan Navin Siva memaklumkan bahawa anak guamnya tidak akan meneruskan rayuan. Turut bersidang Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dan Datuk Ismail Brahim. Brendan memaklumkan mahkamah bahawa beberapa responden termasuk Kerajaan Negeri Pahang dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) menuntut kos. Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang Abdul Hafiz Razat memaklumkan mahkamah bahawa kerajaan negeri menuntut kos bagi kerja-kerja berkaitan rayuan kes itu. Peguam PKPP Mohd Fairuz Abdullah pula berkata anak guamnya juga menuntut kos kerana mereka telah meneliti rekod rayuan. Fong kemudian memberikan kos guaman sebanyak RM8,000 kepada Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, Kerajaan Negeri Pahang dan PKPP manakala Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd tidak menuntut kos. Tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan semakan kehakiman pekebun terbabit untuk mencabar arahan kerajaan negeri untuk mengusir mereka dari kebun di kawasan Sungai Ruan, Sungai Chalit, Sungai Klau dan Tranum. Hakim Datuk Seri Mohd Radzi Harun memutuskan bahawa keputusan responden untuk mengeluarkan notis pengusiran dibuat selaras dengan keperluan undang-undang dan tidak dicemari oleh unsur-unsur ketidaksahan, ketidakrasionalan atau niat jahat. Beliau memberikan kos berjumlah RM200,000 kepada Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri dan Kerajaan Negeri Pahang serta kos masing-masing sebanyak RM200,000 kepada PKPP dan Royal Pahang Durian Resources. Para pekebun itu memfailkan semakan kehakiman untuk mendapatkan perintah certiorari bagi membatalkan notis pengusiran yang dikeluarkan oleh Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang dan PKPP. Mereka juga memohon perintah mandamus bagi memaksa Pentadbir Tanah Daerah Raub dan Pengarah Jabatan Perhutanan Panag untuk memberikan pajakan bagi tanah yang terlibat kepada para pekebun atau wakil yang mereka namakan. Pada prosiding hari ini, peguam Mohd Irwan Ismail mewakili Royal Pahang Durian Resources manakala Abdul Hafiz dan Rozanna Abd Hadi hadir bagi pihak Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri serta Kerajaan Negeri Pahang. -- BERNAMA  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035