Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Bernama
Title :Pahang salur RM250,000 kepada 844 atlet menerusi Inisiatif Atlet Makmur
Faculty :Astro Awani
Year of Publication :04/12/2025 21:15 MYT
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN: Kerajaan Pahang menyalurkan insentif lebih RM250,000 kepada 844 atlet yang aktif dan mengharumkan nama negeri menerusi Inisiatif Atlet Makmur Pahang. Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang Fadzli Mohamad Kamal berkata inisiatif itu tanda penghargaan terhadap pengorbanan, kesungguhan serta komitmen mereka menjalani latihan dan mewakili negeri dalam pelbagai kejohanan. "Inisiatif ini pengiktirafan kepada atlet yang sentiasa berusaha meningkatkan prestasi. Kita berharap sumbangan ini menyuntik semangat dan iltizam untuk mereka terus mencapai kejayaan lebih cemerlang," katanya dalam sidang media Majlis Inisiatif Makmur (Atlet 2025) di sini hari ini. Selain itu, Fadzli berkata 78 atlet Pahang akan mewakili negara pada Sukan SEA 2025 di Thailand dengan kerajaan negeri juga akan membantu mereka sepanjang temasya sukan dwitahunan itu berlangsung. "Kita sentiasa memantau rapat prestasi serta keperluan atlet dan mereka yang memaklumkan keperluan tertentu akan dibantu Majlis Sukan Pahang (MSP) selain oleh Majlis Sukan Negara," katanya. Selain itu, beliau berkata persiapan atlet Pahang ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor giat dijalankan, dengan senarai akhir mereka yang akan mewakili negeri dijangka dimuktamadkan Januari depan. "Jika di (SUKMA) Sarawak (pada tahun lepas) lebih 700 atlet bertanding, untuk SUKMA Selangor kita bercadang menghantar mungkin lebih 800 orang," katanya. Fadzli berkata Mesyuarat Lembaga Pengurus MSP bersetuju melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan Khaizulnizam Mohd Zuldin sebagai Ketua Kontinjen (CDM) Pahang ke SUKMA 2026. "Pelantikan berdasarkan prestasi baik beliau ketika mengetuai kontinjen Para SUKMA Pahang di Sarawak. Saya telah berbincang dan difahamkan beliau sedang mengatur strategi bersama-sama penyelaras sukan dan akan ke tempat latihan dalam masa terdekat," katanya. Beliau berkata kerajaan negeri mahu meminimumkan isu melibatkan atlet, jurulatih dan persiapan latihan supaya tidak menjejaskan persediaan bagi memastikan Pahang tampil dengan kekuatan optimum pada SUKMA 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos. -- BERNAMA  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035