Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Bernama
Title :Belanjawan 2026: Pahang sasar kutipan hasil lebih RM1.2 bilion
Place of Production :Pekan
Faculty :Astro Awani
Year of Publication :05/12/2025 20:15 MYT
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN: Kerajaan Pahang menyasarkan kutipan hasil mencecah RM1.279 bilion pada tahun depan iaitu meningkat kira-kira tujuh peratus berbanding Belanjawan 2025, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak RM1.274 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus manakala RM446.26 juta bagi menampung perbelanjaan pembangunan negeri. "Selaras dengan Aspirasi Pahang 1st, belanjawan ini adalah kesinambungan kepada visi besar negeri iaitu sebuah pelan tindakan yang dirancang dan bersifat menyeluruh," katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2026 yang bertemakan "Pahang 1st: Rakyat Didahulukan, Kemakmuran Dipertahankan" pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini hari ini. Wan Rosdy turut mengumumkan bahawa pada tahun depan, kerja-kerja penyelenggaraan jalan negeri, perbandaran, pertanian dan kampung akan dilaksanakan dengan nilai keseluruhan RM455 juta. "Sebagai usaha berterusan meningkatkan kualiti infrastruktur negeri, Jabatan Kerja Raya Pahang diperuntukkan sebanyak RM134.34 juta bagi belanjawan mengurus dan pembangunan," katanya. Bagi meningkatkan kualiti bekalan air untuk rakyat, kerajaan negeri memperuntukkan RM64.54 juta melalui Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan, mengurangkan kehilangan air tidak terhasil (NRW) dan memastikan bekalan lebih stabil. Kerajaan negeri juga menyediakan Program Air Percuma Pahang 1st untuk setiap 20 kubik meter pertama bagi membantu golongan B40 menikmati air terawat percuma. Tahun depan, RM7.3 juta diperuntukkan untuk program ini yang dijangka memanfaatkan 38,000 pengguna. Keutamaan seterusnya ialah usaha mengurangkan risiko banjir. Sebanyak RM52.23 juta diperuntukkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pahang untuk projek berkaitan pengurangan risiko banjir, hakisan pantai dan pemulihan muara sungai. Sementara itu, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri juga akan menyalurkan sumbangan RM400 kepada pelajar Pahang di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang berdaftar dengan kerajaan negeri, melibatkan peruntukan sebanyak RM9 juta. "Kerajaan negeri juga akan memberi sumbangan RM1,000 kepada setiap pelajar yang melanjutkan pengajian ke luar negara dengan peruntukkan RM300,000," katanya. Menurut beliau, golongan B40 akan terus dibantu antaranya menerusi pemberian RM200 kepada setiap petani dan nelayan dengan masing-masing melibatkan peruntukan RM1.07 juta serta RM650,000. -- BERNAMA  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035