|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| PEKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang merekodkan 930 kes melibatkan pelbagai kesalahan hasil 86,504 pemeriksaan di premis perniagaan di seluruh negeri ini sejak 1 Jan hingga bulan lepas.
Pengarah KPDN Pahang Jezlily Jamaluddin berkata tindakan tegas itu membawa kepada nilai sitaan keseluruhan sebanyak RM2.31 juta selain kompaun berjumlah RM258,020.
Beliau berkata pendekatan itu diambil bagi memastikan peniaga mematuhi undang-undang perdagangan serta melindungi pengguna daripada amalan tidak beretika.
"Sepanjang tempoh berkenaan juga, sebanyak 1,108 aduan diterima termasuk 430 aduan melibatkan isu harga dan 95 berkaitan bekalan barang kawalan," katanya pada sidang media sempena Majlis Perasmian Program Pasar Patuh Peringkat Pahang di Pasar Besar Pekan di sini hari ini.
Jezlily berkata Program Pasar Patuh bertujuan untuk memastikan peniaga mempamerkan harga dengan jelas, menggunakan alat timbang sah dan menyediakan persekitaran pasar yang kemas, selamat serta teratur.
"Program itu akan diperluas ke pasar utama lain di seluruh Pahang secara berperingkat. Inisiatif ini bukan hanya usaha advokasi tetapi strategi penguatkuasaan menyeluruh bagi meningkatkan kesedaran peniaga terhadap pematuhan undang-undang dan menggalakkan persaingan sihat," katanya.
Jezlily berkata Pahang mempunyai 26 pasar awam utama, menjadikannya sektor penting yang memerlukan pemantauan berterusan.
Beliau berkata KPDN Pahang sentiasa melakukan pemeriksaan di lapangan bagi memastikan tidak berlaku kenaikan harga secara melampau dan pihaknya tidak menghadapi masalah walaupun di pedalaman kerana mempunyai lima cawangan di lokasi strategik dengan bilangan anggota yang mencukupi.
-- BERNAMA
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |