Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Bernama
Title :Pahang sedia kaji cadangan pembinaan laluan kereta api di Cameron Highlands
Place of Production :Pekan
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
LIPIS: Kerajaan Negeri Pahang bersedia mengkaji dan meneliti cadangan pembinaan laluan kereta api di Cameron Highlands sekiranya projek itu memberikan impak besar kepada rakyat serta pembangunan infrastruktur di kawasan berkenaan. Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang cadangan rasmi daripada mana-mana pihak berkaitan projek itu. "Jika laluan ini dapat beri kemudahan (kepada orang ramai) dan mempertingkatkan infrastruktur di situ, kita akan mempertimbangkannya," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Inisiatif Makmur (IM) Pahang kepada Kluster Agama (Masjid dan Surau Kebenaran Solat Jumaat) Negeri Pahang Tahun 2025 Zon Pahang Barat di sini hari ini. Baru-baru ini, tular khabar angin berkaitan cadangan pembinaan laluan kereta api di Cameron Highlands melibatkan Tanah Rata, Brinchang dan Blue Valley, yang dijangka berupaya mengatasi masalah kesesakan jalan raya yang kritikal di destinasi pelancongan terkemuka itu. Bercakap tentang program hari ini, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM6.97 juta melibatkan 697 masjid dan surau kebenaran solat Jumaat di seluruh Pahang secara berperingkat, pada tahun ini. "Bagi Zon Pahang Tengah dan Zon Pahang Timur, kita telah agihkan pada September dan November lepas melibatkan 521 masjid dan surau dengan peruntukan RM5.21 juta. Kita meneruskan agihan bagi Zon Pahang Barat melibatkan 176 masjid dan surau dengan peruntukan RM1.76 juta," katanya. Beliau berkata menerusi Belanjawan Negeri Pahang 2026, pihaknya akan meneruskan IM Pahang dengan peruntukan RM84.59 juta berbanding tahun ini, iaitu RM50.54 juta dengan melibatkan empat kluster, iaitu Kluster Pelajar, Kluster Agama, Kluster B40 dan Kluster Umum dengan 24 inisiatif. "Di bawah kluster agama sahaja, sebanyak sembilan inisiatif akan dilaksanakan tahun hadapan, antaranya sumbangan RM10,000 kepada masjid dan RM4,000 kepada surau dengan peruntukan RM7.95 juta, pemberian sumbangan khairat kematian RM200 kepada waris dan pemberian wang saku RM750 seorang kepada jemaah haji Pahang," katanya. Sementara itu, Wan Rosdy turut menzahirkan penghargaan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menunaikan tanggungjawab korporatnya dengan memperuntukkan sumbangan RM15,000 kepada 150 murid Sekolah Kebangsaan Keledek, di sini. -- BERNAMA  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035