Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Bernama
Title :Sultan Pahang seru umat Islam tunaikan kewajipan bayar zakat fitrah
Faculty :Astro Awani
Year of Publication :25/03/2025 12:30 MYT
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru seluruh umat Islam di negeri ini agar menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah sebagai satu ibadah yang menyucikan jiwa. Baginda bertitah zakat fitrah yang merupakan kewajipan sering kali dipandang ringan walhal ia bukan sekadar rukun Islam, tetapi juga lambang kepada keprihatinan sosial Islam yang perlu dipandang serius. "Semoga zakat yang ditunaikan menjadi sumber keberkatan dan memperkukuh ukhuwah dalam kalangan rakyat jelata," titah baginda yang dimuat naik di Facebook Kesultanan Pahang. Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berangkat ke Majlis Perasmian Masjid Baharu Kampung Marhum yang dimahsyurkan dengan nama Masjid Saidina Uthman Ibnu Affan, Pekan, semalam. Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) atas usaha mengagihkan bantuan Ramadan berjumlah RM21.69 juta kepada lebih 35,000 penerima termasuk asnaf, institusi masjid, pusat pengajian dan saudara baharu. Sultan Pahang bertitah ia sebagai tanda keprihatinan terhadap kesejahteraan rakyat terutamanya golongan memerlukan bantuan dan sokongan untuk meneruskan kehidupan. Selain itu, Al-Sultan Abdullah juga menyeru seluruh rakyat negeri ini agar menyambut lebaran bakal tiba tidak lama lagi dengan kesederhanaan, kewaspadaan dan kasih sayang. "Saban tahun, pembaziran sentiasa berlaku apabila masuknya Ramadan. Sebanyak 90,000 tan makanan dibazirkan dan dibuang di seluruh negara sepanjang bulan Ramadan pada tahun 2023 yang lalu dan angka ini melonjak menjelang hari raya. "Ingatlah, setiap sen yang dibelanjakan berlebihan, setiap juadah dibazirkan, itu bukan cerminan Islam sebenar," titah baginda. Sultan Pahang turut mengingatkan rakyat agar mengutamakan keselamatan dan sentiasa berhati-hati di jalan raya dan tidak mementingkan diri sepanjang perjalanan pulang ke kampung halaman meraikan Aidilfitri. "Aidilfitri seharusnya mempertemukan kita dengan yang tersayang, bukan meninggalkan mereka dalam tangisan. Berpada-padalah dalam berbelanja, berhati dalam bergaya, utamakanlah keselamatan, hargailah keluarga dan insan tersayang. Kerana itulah, sebenar-benar makna hari raya," titah baginda. -- BERNAMA  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035