Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Bernama
Title :Lebih 2,000 calon SPM berisiko terjejas banjir di Pahang, SMK Clifford antara terlibat
Faculty :Astro AWANI
Year of Publication :30/11/2025 17:30 MYT
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang mengenal pasti seramai 2,447 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berisiko terjejas berikutan banjir yang melanda beberapa daerah di negeri ini. Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD JPN Pahang Hanita Kassim berkata setakat tengah hari ini, daripada jumlah tersebut seramai 122 calon disahkan menjadi mangsa banjir melibatkan 111 calon di Lipis, enam di Temerloh, empat di Kuantan dan seorang di Pekan. "Keutamaan JPN adalah memastikan calon SPM diberi bantuan segera. Kita telah mengambil tindakan awal untuk memindahkan calon yang terlibat kerana keadaan semasa menunjukkan laluan, sekolah atau kediaman mereka dinaiki air," katanya kepada Bernama di JPN Pahang di sini hari ini, mewakili Pengarah Pendidikan negeri Ahmad Zamri Md Isa. Esok, seramai 413,372 calon SPM di seluruh negara akan menduduki peperiksaan Matematik (Aneka Pilihan) Kertas 1 dan Matematik Kertas 2. Dalam pada itu, Hanita berkata 109 calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, Kuala Lipis telah dipindahkan ke SMK Kuala Lanar sejak Jumaat lepas selepas sekolah dan dewan peperiksaan dinaiki air. "Dewan peperiksaan SMK Clifford dinaiki air pada 4.23 petang dan semua calon dipindahkan menggunakan bas ke SMK Kuala Lanar untuk menduduki peperiksaan serta ditempatkan di asrama sekolah berkenaan," katanya. Beliau berkata calon yang dipindahkan akan menduduki peperiksaan di dua kelas khas yang disediakan di SMK Kuala Lanar, manakala calon sekolah itu pula kekal menggunakan dewan peperiksaan. Bagi persediaan lebih meluas, JPN Pahang menggunakan Dashboard Ops Payung untuk merekodkan sekolah yang berisiko terjejas banjir. Kerajaan negeri turut menyediakan Juadah Makmur kepada semua calon SPM bagi memastikan kebajikan mereka terjamin. "Kantin sekolah juga akan sentiasa menyediakan makanan dan PIBG turut memantau keperluan calon. Agensi terlibat menyediakan bantuan seperti tikar dan toto bagi calon yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS)," katanya. Hanita turut memaklumkan bahawa murid sekolah rendah dan menengah yang berisiko banjir dibenarkan mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), namun mereka boleh kembali ke sekolah sekiranya keadaan kembali pulih. -- BERNAMA  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035