Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Bernama
Title :Kerajaan Pahang harap caj Jalan Genting Highlands ambil kira kepentingan penduduk
Faculty :Astro Awani
Year of Publication :15/11/2025 21:03 MYT
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
ROMPIN: Kerajaan Pahang berharap sebarang caj dikenakan untuk kenderaan yang memasuki Jalan Genting Highlands kelak mengambil kira kepentingan serta kesejahteraan penduduk setempat. Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri Datuk Razali Kassim berkata pihak terbabit juga disaran memberi perhatian khusus kepada kebajikan dan komuniti pekerja di kawasan berkenaan. "Ini termasuk ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah dan penduduk yang melalui kawasan itu setiap hari," katanya selepas merasmikan bas ekspres baharu Sanwa Tours (M) Sdn Bhd di Terminal Sentral Muadzam Shah di sini hari ini. Sebelum ini, Genting Malaysia Bhd mengesahkan akan ada bayaran yang dikenakan untuk kenderaan yang memasuki Jalan Genting Highlands pada tarikh yang akan diumumkan kelak. Syarikat itu dalam kenyataan memaklumkan maklumat lanjut berhubung perkara itu akan diumumkan sebaik sahaja butiran lanjut mengenai bayaran bagi jalan persendirian ini (Caj Jalan Persendirian) tersedia. Mengulas lanjut, Razali berkata jalan terbabit bukan jalan Persekutuan atau negeri, sebaliknya dibina dan diselenggara oleh pihak Genting. Semalam, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menerusi hantaran di laman Facebook turut memaklumkan berdasarkan semakan awal kementeriannya serta maklumat yang diterima, laluan yang dimaksudkan bukan jalan Persekutuan, sebaliknya terletak di atas tanah milikan persendirian. Nanta bagaimanapun berkata aspek keselamatan, standard teknikal dan pematuhan kawal selia bagi mana-mana laluan seperti itu adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Pahang melalui Majlis Perbandaran Bentong, dan buat masa ini kementerian itu tidak mempunyai kuasa perundangan ke atas laluan berkenaan. Isu caj ke atas pengguna yang memasuki Jalan Genting menjadi perhatian dan mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat pada minggu ini. -- BERNAMA  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035