Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Malekah Aisyah
Title :Hari Statistik Negara 2025 gegar Pantai Timur, DOSM suntik kepentingan data
Faculty :Astro AWANI
Year of Publication :14/10/2025 12:45 MYT
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
LIPIS: Data bukan sekadar angka kerana ia menjadi nadi kehidupan yang membantu kerajaan, komuniti dan rakyat memahami realiti sebenar pembangunan negara. Itulah semangat yang diangkat Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sempena Sambutan Hari Statistik Negara dan Sedunia 2025 (HSN 2025) yang bakal berlangsung pada 17-19 Oktober di Lipis, Pahang. Sambutan kali ini cukup istimewa kerana ia bukan sahaja merupakan ulang tahun ke-9 HSN, tetapi turut diraikan bersama Hari Statistik Sedunia yang diadakan setiap lima tahun sekali di peringkat antarabangsa, dengan tema “Statistik Nadi Kehidupan”. Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, sambutan ini menjadi wadah penting untuk memupuk budaya celik statistik dalam kalangan rakyat. “HSN mencerminkan komitmen DOSM untuk membudayakan statistik dalam kehidupan seharian masyarakat, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara dan kesejahteraan sejagat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya. Beliau turut menambah, sambutan ini juga menjadi platform memperluas kefahaman masyarakat mengenai peranan statistik dan fungsinya dalam dasar pembangunan negara. “Kita ingin meningkatkan kesedaran bahawa statistik bukan sekadar data ekonomi atau bancian, tetapi asas utama kepada keputusan berasaskan bukti. “Statistik memainkan peranan penting dalam semua aspek kehidupan, dari perancangan pendidikan hingga pembangunan komuniti,” jelasnya. Sambutan HSN 2025 akan diadakan di Dewan Terbuka Laman Sejahtera, Sungai Koyan 1, dan akan dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. Lipis dipilih sebagai lokasi utama kerana daerah itu diiktiraf sebagai ‘Antara Bandar Paling Bahagia di Malaysia’ berdasarkan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia 2024 yang dikeluarkan DOSM sekali gus menjadi simbol sejajar dengan tema kesejahteraan rakyat dan statistik sebagai nadi kehidupan. “Lipis melambangkan keharmonian dan kesejahteraan komuniti luar bandar. Ini selari dengan mesej bahawa statistik bukan hanya milik bandar, tetapi juga milik rakyat di semua peringkat,” ujarnya. Antara program menarik yang dirangka termasuk Sesi Literasi Statistik bersama Komuniti, Karnival Kerjaya, Debat Statistik IPT, Datathon, Forum Perdana Ehwal Islam, Sukan Rakyat serta program CSR dan kesihatan. “Kita mahu rakyat mendekati data dengan cara yang lebih santai dan interaktif. Aktiviti-aktiviti ini mengetengahkan produk jabatan serta memperlihatkan bagaimana statistik memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian,” tambahnya lagi. Selain itu, sambutan kali ini turut memberi pengiktirafan kepada ahli statistik di seluruh negara yang menjadi tunjang kepada data rasmi kerajaan. “Sambutan HSN bukan hanya untuk meraikan angka, tetapi menghargai individu di sebalik data mereka yang memastikan maklumat yang disampaikan tepat, boleh dipercayai dan relevan untuk semua,” kata beliau. Sambutan Hari Statistik Negara dan Sedunia 2025 bukan sekadar acara tahunan malah menjadi simbol bagaimana data yang tepat mampu membentuk keputusan, dasar dan masa depan lebih sejahtera untuk rakyat Malaysia.    
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035