Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Astro Awani
Title :Malaysia, Timor-Leste jalin kerjasama pengajian tinggi, pacu pendidikan serantau
Faculty :Astro Awani
Year of Publication :12/06/2025 15:40 MYT
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri bersetuju untuk memuktamadkan perjanjian persefahaman (MoU) kerjasama berkaitan pendidikan tinggi Malaysia dengan Timor-Leste. Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, langkah ini merupakan cerminan komitmen Malaysia sebagai pengerusi ASEAN untuk menyumbang kepada pembangunan pendidikan tinggi di rantau Asia Tenggara. “Hari ini (Rabu), kabinet telah bersetuju supaya MoU dengan Timor-Leste dimuktamadkan. "Ini merupakan satu lembaran baharu kerjasama Malaysia dan Timor Leste dalam membantu Timor-Leste membangunkan sektor pendidikan tinggi di negara mereka,” katanya. Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu. Selain itu, Dr Zambry turut memaklumkan mengenai penubuhan ASEAN Global Exchange for Mobility and Scholarship (ASEAN GEMS) yang dibangunkan oleh Malaysia di bawah Intra ASEAN Scholarship Program (IASP) iaitu sebuah portal pembiayaan pengajian tinggi kepada belia-belia ASEAN yang berkelayakan. “ASEAN-GEMS dibangunkan bagi membolehkan akses biasiswa kepada pelajar-pelajar ASEAN agar mereka boleh belajar di universiti-universiti di negara ASEAN. "Kita dapat capai hasrat itu melalui inisiatif Intra-ASEAN Scholarship Programme (IASP),” ujarnya. ASEAN-GEMS adalah sebuah portal biasiswa yang berperanan sebagai koordinator biasiswa dan mobiliti kepada penyedia biasiswa, institusi pendidikan tinggi dan pihak kerajaan yang dibangunkan oleh Education Malaysia Global Services (EMGS) dengan sokongan negara anggota ASEAN. Portal ini dijangkakan akan diluncurkan secara rasmi di peringkat ASEAN semasa Persidangan Meja Bulat Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN di Langkawi pada 19 Jun akan datang. Sehingga kini ASEAN-GEMS telah berjaya mengumpul sebanyak 300 penawar biasiswa peringkat ASEAN dengan nilai biasiswa sebanyak RM18 juta. Menurut Dr Zambry, peranan Malaysia sebagai peneraju sektor pendidikan bersandarkan kepada kepercayaan negara-negara anggota terhadap sistem pendidikan tinggi negara. “Dari segi kedudukan carta universiti di Asia Tenggara, sukacita saya sebutkan daripada 10 universiti-universiti terbaik di dunia yang ada di rantau ini, tujuh ialah universiti dari Malaysia, dua dari Singapura, dan satu dari Thailand. “Dengan adanya penarafan yang tinggi kepada Malaysia, mereka (negara-negara anggota ASEAN) mengharapkan supaya kerjasama sedia ada diperhebat dengan universiti-universiti tempatan kita. "Mereka mahu supaya Malaysia menjuarai isu-isu penting pendidikan tinggi,” jelas Dr Zambry. Tambahnya, Malaysia secara konsisten menjadi peneraju kepada inisiatif pendidikan ASEAN. Malah, kemuncak kepada penekanan sektor pendidikan tinggi di ASEAN termeterai semasa kepengerusian ASEAN-Malaysia pada 2015, melalui Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Pendidikan Tinggi. Ia merupakan deklarasi pertama seumpamanya, lanjutan daripada inisiatif-inisiatif lebih awal mengenai pendidikan di peringkat ASEAN, termasuk penubuhan Jaringan Universiti ASEAN (AUN) pada 1992 dan Jawatankuasa ASEAN mengenai Pendidikan (ASCOE) pada 1997. Sempena penganjuran Persidangan Meja Bulat Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN yang akan diadakan pada 19 Jun 2025 di Langkawi, Malaysia akan membentangkan sebuah dokumen hasil baharu iaitu ASEAN Leaders’ Declaration on Higher Education: Towards an Inclusive, Sustainable and Properous ASEAN sebagai kesinambungan kepada Kuala Lumpur Declaration on Higher Education (2015) selaras dengan matlamat ASEAN Community Vision 2045 yang telah diluncurkan baru-baru ini.  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035