Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Bernama
Title :Suami isteri maut, tiga anak cedera dalam kemalangan di Pekan
Faculty :Astro Awani
Year of Publication :18/06/2025 09:40 MYT
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN: Sepasang suami isteri maut manakala tiga anak mereka cedera selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori dalam kemalangan di Batu 8, Lepar, di sini, malam tadi. Ketua Polis Daerah Pekan, Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira 10 malam itu melibatkan kereta Proton Wira dinaiki lima sekeluarga dengan lori jenis Mitsubishi Fuso milik syarikat Golden Green Farm. Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu Jamal Azizul Samat, 44, dari arah Kuantan menghala ke Segamat dipercayai hilang kawalan semasa memotong sebuah kenderaan lain sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori yang datang dari arah bertentangan. "Akibat kemalangan terbabit, mangsa Jamal Azizul dan isterinya Lizawati Abdullah, 41, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah, mayat mereka dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan. Mohd Zaidi berkata, tiga anak mereka berusia enam hingga 17 tahun mengalami kecederaan pada bahagian kepala, muka dan perut, serta telah dihantar ke HTAA untuk rawatan lanjut. "Pemandu lori Logesvaran Kandan, 31, tidak mengalami sebarang kecederaan manakala dua kelindan lori, masing-masing berumur 24 dan 37 tahun, cedera ringan," katanya. Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -- BERNAMA      
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035