Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Bernama
Title :Polis Pahang tubuh pasukan petugas, cegah kes kecurian di tapak projek ECRL
Faculty :Astro Awani
Year of Publication :23/06/2025 21:00 MYT
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN: Polis Pahang akan menubuhkan pasukan petugas bagi mencegah kes kecurian di tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di sini. Ketua Polis Negeri Datuk Seri Yahaya Othman berkata kegiatan berkenaan sememangnya berada di bawah pemerhatian pihaknya selepas menerima 10 laporan polis berkaitan kes kecurian di lokasi pembinaan projek itu sejak bulan lepas, dengan kerugian dianggarkan mencecah RM200,000. Beliau berkata kes melibatkan kecurian kabel dan besi dilaporkan berlaku di laluan projek ECRL di Cherating, Gebeng dan Gambang di sini dan tiada tangkapan dibuat setakat ini. "Kita masih mengesan individu yang terlibat dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka mengikut peruntukan undang-undang sedia ada," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini. Yahaya memaklumkan mereka yang terlibat dengan kes kecurian kabel boleh didakwa mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan membencanakan kabel dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Beliau berkata pihaknya turut mencadangkan pihak pengurusan projek berkenaan mendapatkan khidmat polis bantuan bagi mengekang kes kecurian daripada terus berlaku. "Kami sedia bekerjasama dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dalam mengatasi masalah ini selain orang ramai juga diminta melaporkan kepada polis sekiranya mempunyai maklumat mana-mana pihak yang ingin menjual kabel dan barang pembinaan lain," katanya. Dalam pada itu, beliau turut memberi amaran agar masyarakat tidak membeli barangan yang dicuri kerana ia juga merupakan satu kesalahan dan boleh didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda. Menteri Pengangkutan Anthony Loke hari ini dilaporkan berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bertindak tegas terhadap kes kecurian kabel di tapak projek ECRL kerana perbuatan itu boleh menjejaskan kelancaran dan pelaksanaan projek. Sebelum itu, MRL melahirkan kebimbangan berikutan kes kecurian kabel dikesan di lokasi tertentu sepanjang jajaran ECRL, merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor. -- BERNAMA  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035