Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Bernama
Title :Melaka komited perkasa wakaf pendidikan
Faculty :Astro Awani
Year of Publication :21/05/2025 05:30 MYT
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
MELAKA: Melaka komited untuk memperkasakan wakaf pendidikan dalam usaha meningkatkan akses kepada kemudahan pendidikan berkualiti, terutamanya membantu golongan kurang berkemampuan dan memperkukuh pembangunan modal insan. Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, dana itu boleh dimanfaatkan untuk pelbagai tujuan pembiayaan pendidikan termasuk memberi biasiswa kepada pelajar yang memerlukan. "Sebagai contoh Universiti Malaysia Melaka, iaitu sebuah institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri, yang mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan pusat wakafnya sendiri. "Justeru, kita menyeru semua pihak untuk turut serta termasuk kerajaan negeri, syarikat swasta dan para penyumbang bagi memperkasakan institusi wakaf pendidikan ini," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa. Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Simposium Zakat 2025:Kelestarian Tatakelola Pengurusan Zakat, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji Datuk Selamat Paigo. Dalam pada itu, Rais berkata, prestasi kutipan zakat di Melaka mencatatkan peningkatan yang sangat memberangsangkan iaitu mencecah RM59.8 juta sehingga suku kedua tahun ini. Beliau berkata, daripada jumlah itu, zakat pendapatan menyumbang RM31.8 juta, diikuti zakat wang simpanan (RM11.7 juta) dan zakat perniagaan (RM7.8 juta), manakala kutipan zakat fitrah merekodkan jumlah kutipan RM6.6 juta. "Dengan kutipan zakat yang tinggi ini, ia dilihat akan menjadi pemangkin utama dalam memperluaskan jaringan bantuan kepada golongan asnaf, sekali gus memperkukuh ekosistem pembangunan sosioekonomi umat Islam," katanya. Dalam pada itu, Rais berkata, penganjuran Simposium Zakat 2025 yang dihadiri kira-kira 150 peserta dari seluruh negara itu dilihat amat bertepatan dengan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh sistem pengurusan zakat yang efisien, telus dan berkesan. Beliau berkata, inisiatif itu juga amat signifikan dalam memperkasakan tadbir urus zakat yang lestari serta berimpak tinggi di peringkat negeri mahupun nasional. -- BERNAMA  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035