Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Bernama
Title :Golongan muda tamat pengajian mudah terperdaya 'job scam' - JTKSM
Faculty :Astro Awani
Year of Publication :23/05/2025 20:30 MYT
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
IPOH: Golongan muda yang baharu menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi didapati paling mudah terperdaya dengan penipuan pekerjaan dari luar negara atau 'Job Scam'. Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) Kamal Pardi berkata ini kerana golongan itu mudah terperdaya dengan janji sindiket tersebut yang kononnya menawarkan tawaran gaji yang tinggi dan pelbagai kemudahan yang disediakan. "Mereka (golongan muda) beria-ia hendak bekerja. Tiada pengalaman, tidak menyemak sama ada tawaran tersebut sahih atau pun tidak, kebanyakan tawaran dibawa bekerja ke luar negara. "Jadi, inilah yang menyebabkan golongan muda terperangkap menjadi mangsa buruh paksa," katanya pada sidang media selepas merasmikan Jerayawara Pencegahan Eksploitasi Pekerja: Ke Arah Sifar Buruh Paksa 2030 di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini. Kamal berkata pihaknya amat menggalakkan orang ramai, terutamanya golongan muda berdaftar dengan portal MYFutureJobs untuk mencari peluang pekerjaan yang bersesuaian dan mengelak terperdaya dengan penipuan pekerjaan. Dalam pada itu, Kamal berkata konvoi jerayawara adalah sebahagian daripada inisiatif bersepadu bagi meningkatkan kesedaran awam dan memperkukuh tindakan kolektif terhadap isu eksploitasi pekerja serta buruh paksa. Konvoi berkenaan dijangka menjelajah dari Perak ke negeri Perlis, dengan beberapa lokasi perhentian yang telah dikenal pasti bagi tujuan penyampaian maklumat secara langsung kepada komuniti sasaran. "Program ini menampilkan pelbagai pengisian, termasuk sesi ceramah, libat urus komuniti, pengedaran bahan penerbitan serta pameran mini berkaitan hak pekerja, bentuk eksploitasi, dan saluran pelaporan. "Pendekatan konvoi membolehkan mesej disampaikan secara lebih menyeluruh, dan langsung kepada pelbagai lapisan masyarakat," katanya. Beliau berkata program berkenaan juga sejajar dengan matlamat nasional dan komitmen antarabangsa Malaysia untuk membanteras buruh paksa menjelang 2030, dan melalui pelaksanaan berfasa JTKSM berharap semua pihak dapat berganding bahu untuk menjayakan aspirasi itu. -- BERNAMA  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035