Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Bernama
Title :Audi mulakan pemasangan Audi Q7 di Pekan, Pahang
Faculty :Astro Awani
Year of Publication :24/04/2025 17:04 MYT
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
PEKAN: Audi mula memasang kenderaan utiliti sukan (SUV) pertamanya di Asia Tenggara di kilangnya di Pekan, Pahang, yang merupakan satu-satunya kemudahan pengeluaran Audi di rantau ini, menurut satu kenyataan. Audi merupakan sebahagian daripada jenama kenderaan di bawah Volkswagen Group. Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia (VGM) Susanne Lehmann berkata Malaysia telah dikenal pasti sebagai hab pengeluaran serantau untuk kenderaan Audi di ASEAN. "Pelanggan akan terus menikmati kualiti, prestasi dan kemewahan Audi yang sama, kini buatan Malaysia," katanya pada majlis Permulaan Pengeluaran Audi Q7 di sini hari ini. SUV Audi Q7 merupakan kenderaan tujuh tempat duduk dan berharga antara RM469,000 hingga RM489,000 seunit. Ia akan diperkenalkan ke pasaran Malaysia bulan hadapan. Kenyataan itu berkata kilang di Pekan yang melibatkan pelaburan awal sekitar RM12 juta, mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 5,000 unit. Dalam perkembangan berasingan, Lehmann berkata pasaran eksport masa depan syarikat itu akan meliputi Indonesia, Thailand, dan Vietnam. Beliau berkata keputusan untuk memulakan pengeluaran dengan model Q7 dan bukan model yang lebih kecil atau produk jualan yang lebih tinggi, merupakan langkah strategik untuk mengembangkan portfolio Audi. "Kami mahu beralih kepada pengeluaran kenderaan elektrik (EV) secara berperingkat. Ini merupakan langkah pertama yang logik untuk operasi kami di sini. "Kami bukan sahaja melihat kepada jumlah, tetapi kami mahu membina keupayaan. Kami perlu melatih tenaga kerja kami, memperkenalkan teknologi baharu dan menyediakan asas untuk pengeluaran EV," katanya. Syarikat itu sedang dalam perbincangan dengan agensi-agensi kerajaan tempatan untuk meningkatkan penggunaan komponen dan pembekal Malaysia. "Kami menyasarkan untuk meningkatkan penyetempatan dan melibatkan lebih banyak pembekal tempatan dalam rantaian bekalan kami, yang akan membantu mengurangkan lagi kos," katanya. Lehmann berkata kilang itu dijangka mewujudkan peluang pekerjaan, pemindahan kemahiran dan membangunkan rantaian bekalan tempatan. Mengenai garis masa untuk membuka bahagian badan kenderaan, beliau berkata bahagian badan dan cat melibatkan pelaburan yang besar dan memerlukan pengeluaran sekurang-kurangnya 10,000 kereta setahun. -- BERNAMA    
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035