|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| SINTOK: Prihatin terhadap peningkatan kos sara hidup dan tekanan ekonomi yang semakin mencabar, Universiti Utara Malaysia (UUM) memperkenalkan Dapur Siswa MADANI dan MADANI ResQ Pek bagi membantu pelajar yang memerlukan.
Naib Canselor UUM, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed, berkata inisiatif itu adalah antara usaha mengurangkan isu pelajar yang memerlukan makanan.
Katanya, Foodbank yang disediakan dalam kampus sebelum ini tidak mencukupi untuk diletakkan di semua Inapan Siswa (Inasis), malah ada segelintir pelajar yang malu untuk mengambil Foodbank.
"Pihak UUM kini menggunakan kumpulan sasaran untuk memberi bantuan terus kepada pelajar yang memerlukan melalui Dapur Siswa MADANI dan MADANI ResQ Pek UUM ini.
"Kita menggunakan amalan yang telah dilaksanakan oleh universiti lain seperti Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang menggunakan program retort ini.
"UUM minta pengetua Inasis untuk pergi ke universiti itu untuk melihat bagaimana ia dilaksanakan. Kita mahu tunjuk komitmen yang tidak berbelah bahagi dengan memastikan semua terbabit dan tiada terkecuali dari atasan sampai ke bawah termasuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sendiri," katanya ketika melancarkan Dapur Siswa MADANI dan MADANI ResQ Pek UUM di Inasis Proton, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Martadha berkata, pihaknya berharap selepas ini tiada lagi pihak yang memperlekehkan isu kebajikan pelajar, justeru pihak pentadbiran diminta menyelesaikan semua permohonan bantuan dengan segera tanpa sebarang penangguhan.
Katanya, sebagai pentadbir universiti, setiap pihak perlu memainkan peranan yang diamanahkan kerana tiada pihak lain yang lebih bertanggungjawab menjaga kebajikan pelajar selain universiti itu sendiri.
"Dalam tahun ini, saya mahu komitmen penuh semua pihak supaya pelajar yang memerlukan diberi perhatian serta tindakan sewajarnya.
"Jika mereka tidak tampil mendapatkan bantuan, maka kitalah yang perlu turun padang mencari dan membantu mereka.
"Amalan turun padang ini perlu menjadi budaya dalam pentadbiran universiti tanpa mengira latar belakang atau pangkat. Ini tanggungjawab bersama yang perlu dipikul dengan penuh amanah, justeru inovasi seperti ini wajar diteruskan bagi memastikan kebajikan pelajar sentiasa terpelihara," katanya.
Sementara itu, Dekan Hal Ehwal Pelajar UUM, Prof Madya Dr Zainuddin Omar berkata, program anjuran Biro Kebajikan, Kesihatan dan Keselamatan Majlis Pengetua Inasis itu bertujuan mewujudkan rangkaian keselamatan makanan yang lebih sistematik dan mampan untuk komuniti pelajar universiti berkenaan.
Katanya, inisiatif itu bukan sekadar bantuan makanan jangka pendek, sebaliknya mencerminkan tanggungjawab moral universiti dalam menjaga kesejahteraan holistik pelajar.
Beliau berkata, penyediaan pek makanan yang berkhasiat dan seimbang diharap dapat membantu pelajar memberi tumpuan sepenuhnya kepada kecemerlangan akademik tanpa dibelenggu kebimbangan terhadap keperluan asas.
"Saya yakin dengan sokongan kewangan melalui Akaun Bantuan Sara Hidup Pelajar, seramai 800 pelajar sasaran akan menerima manfaat yang signifikan, sekali gus menjadi contoh kepada pengurusan kebajikan pelajar yang lebih inovatif pada masa hadapan," katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |