Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Ilah Hafiz Aziz
Title :UM tambah dewan bedah PPUM susulan kejayaan pemindahan hati bayi lelaki
Place of Production :Berita Harian
Year of Publication :06 Januari 2026
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) akan menambah dewan bedah di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), susulan kejayaan pemindahan hati bersejarah membabitkan seorang bayi lelaki berusia empat bulan, baru-baru ini. Naib Canselor UM, Profesor Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman, berkata penambahan bilik bedah itu akan memperkukuh infrastruktur, kemudahan rawatan kritikal serta sistem sokongan bagi pasukan kepakaran perubatan. "Komitmen ini akan memastikan kepakaran doktor, pakar bedah, jururawat dan anggota kesihatan UM terus diperkasa dengan kemudahan dan sokongan terbaik. "Ia bukan sekadar untuk terus berkhidmat kepada rakyat, malah bertujuan menyelamatkan nyawa serta memberi impak positif kepada kesejahteraan masyarakat dan negara," katanya dalam kenyataan, hari ini. Noor Azuan turut memberi penghargaan kepada kakitangan PPUM yang bertanggungjawab menyelamatkan bayi yang melalui pembedahan pemindahan hati itu. "Kejayaan luar biasa ini membuktikan kepakaran bertaraf dunia, ketelitian klinikal pada saat getir serta kekuatan kerjasama berpasukan yang didukung oleh nilai kemanusiaan dan tanggungjawab profesional. "Ia bukan sahaja kejayaan klinikal malah membuktikan bagaimana komitmen UM terhadap penyelidikan bertaraf dunia diterjemahkan kepada impak sebenar kepada pesakit," katanya. Tambah beliau, pendekatan klinikal dan kerangka rawatan yang digunakan dalam kes itu adalah berasaskan dapatan penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal antarabangsa Pediatric Surgery International. "Hasil penyelidikan UM ini sudah dirujuk serta diguna pakai di peringkat global dan kini terbukti berjaya menyelamatkan nyawa melalui pelaksanaan klinikal di PPUM. "Ini mencerminkan semangat UM di mana penyelidikan berkualiti tinggi, inovasi dan piawaian global tertinggi diperkukuh dalam amalan rawatan klinikal bagi manfaat Malaysia dan dunia," katanya. Penerima hati termuda Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr Mohd Zulkiflee Abu Bakar, berkata bayi yang diselamatkan dalam pembedahan bersejarah itu adalah penerima pemindahan hati termuda dan seberat 6.2 kilogram, sekali gus menjadi rekod dalam sejarah perubatan Malaysia. "Bayi ini mengalami kegagalan hati akut dan rebah beberapa minit sebelum pembedahan dijalankan dan dia memerlukan usaha rawatan rapi serta bantuan resusitasi selama lebih sejam di Unit Rawatan Rapi Pediatrik. "Selepas pasukan perubatan berjaya menstabilkannya, keputusan klinikal yang berani dan kritikal dibuat untuk meneruskan pembedahan, langkah yang akhirnya berjaya menyelamatkan nyawanya," katanya. Dalam kenyataan itu, bapa kepada bayi berkenaan, Tan Hock Siong, mengucapkan terima kasih kepada semua staf PPUM yang terbabit kerana membantu bayi beliau. "Saya sangat berharap anak saya terus sihat," katanya. UM turut mengadakan satu majlis untuk memberi pengiktirafan khas kepada barisan kepimpinan pasukan pemindahan hati antaranya Profesor Madya Dr Koh Peng Soon selaku ketua pembedahan, Pengerusi Pasukan Pemindahan Hati dan Pakar Perunding Kanan Pembedahan Hepatobilier; Prof Shireen Anne Nah Han Yien, Pakar Perunding Kanan Pembedahan Pediatrik; serta Dr Chew Kee Seang.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035