|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| NILAI: Peruntukan RM15 juta untuk Dapur Siswa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dijangka dapat memperkukuh kesinambungan Dapur Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang menjadi platform kebajikan pelajar.
Timbalan Naib Canselor USIM, Prof Dr Mushaddad Hasbullah, berkata pihaknya menyambut baik inisiatif bank makanan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Isnin lalu.
Katanya, peruntukan itu dilihat sebagai pemangkin kepada pemerkasaan ekosistem kebajikan sedia ada.
"Peruntukan RM15 juta bagi pelaksanaan inisiatif bank makanan Dapur Siswa KPT itu disifatkan sebagai langkah strategik kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup mahasiswa secara menyeluruh dan mampan.
"Dapur HEPA USIM adalah sebuah ekosistem bersepadu yang menghimpunkan peranan Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ), Pusat Hal Ehwal Pelajar (PHEP), Pusat Islam serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
"Dengan dukungan dana tambahan ini, USIM optimis untuk memperluas jangkauan bantuan sedia ada melepasi rekod agihan sebelum ini melalui kaedah pelaksanaan yang lebih sistematik dan berimpak tinggi," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan akses kepada bantuan makanan khususnya kepada mahasiswa daripada golongan B40 dan asnaf sentiasa dipelihara supaya tumpuan terhadap kecemerlangan akademik dapat diteruskan tanpa gangguan.
"Memandangkan keperluan mahasiswa berbeza mengikut lokaliti dan ekosistem kampus, pendekatan ini memberi fleksibiliti kepada IPT untuk menyesuaikan kaedah pelaksanaan mengikut acuan masing-masing bagi menjamin impak yang optimum," katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM, Nik Faruqi Naim Mohd Fauzi, menyifatkan inisiatif ini sebagai langkah bermakna yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan pelajar.
"Saya mewakili seluruh mahasiswa bersyukur kerana dana ini bukan sekadar sokongan bersifat kebajikan kepada mahasiswa, tetapi satu usaha pemulihan martabat bagi memastikan kemiskinan tidak menjadi faktor peminggiran bakat dalam ekosistem pendidikan kita," katanya.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |