Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Ilah Hafiz Aziz
Title :Azam Baki dilantik Profesor Adjung Pengurusan Teknologi di UTeM
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :09 Januari 2026
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, dilantik sebagai Profesor Adjung Pengurusan Teknologi bagi program Doktor Falsafah PIPK di Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan (IPTK), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Pelantikan itu adalah bagi tempoh dua tahun bermula 1 Disember tahun lalu hingga 30 November 2027. Ketika menerima surat lantikan daripada UTeM di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini, Azam menitipkan nasihat kepada pelajar kejuruteraan supaya melangkah bukan hanya dengan pengetahuan mengenai teknikal dan teknologi, tetapi juga hala tuju hidup. Beliau berkata, pelajar dalam bidang kejuruteraan atau teknologi adalah prospek yang tangkas mempelajari sesuatu dan fokus menyelesaikan perkara secara objektif. "Mereka juga cenderung kepada pemikiran menyelesaikan masalah. Bagaimanapun, kita mahu pelajar kejuruteraan ini bukan hanya tahu mengenai teknikal dan teknologi tetapi juga hala tuju. "Mereka perlu tahu ke mana hendak pergi selepas tamat pengajian. Bukan hanya sekadar tamat belajar, tetapi juga bersedia menjadi penyumbang pada masa hadapan dan berdepan masyarakat mahupun kerjaya. "Ini penting kerana kita memerlukan lebih ramai individu seperti ini untuk bekerjasama dengan bidang lain dan membangunkan negara secara menyeluruh," katanya. Surat lantikan itu disampaikan sendiri oleh Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Dr Massila Kamalrudin, ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Azam. Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM, Prof Dr Mohd Rizal Salleh; dan Penolong Naib Canselor (Strategik dan Kelestarian Global) UTeM, Prof Madya Dr Mustafah Mohd Tahir. Pada pertemuan itu, Massila berkata, pemilihan Azam adalah kerana latar belakang beliau yang memiliki kelulusan dalam bidang kejuruteraan dan undang-undang, selain berpengalaman luas dalam bidang integriti serta pencegahan rasuah. Beliau turut memaklumkan terdapat lebih 20 alumni UTeM kini berkhidmat dengan SPRM, sekali gus membuktikan betapa relevan bidang teknologi serta kejuruteraan dengan pencegahan rasuah. "Kami juga berhasrat menubuhkan Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) di UTeM pada tahun ini sebagai platform untuk meningkatkan kesedaran, mendidik dan mempromosikan budaya antirasuah dalam kalangan pelajar," katanya.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035