Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Abnor Hamizam Abd Manap
Title :Peluang kedua ke universiti melalui pengajian jarak jauh
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :12 Januari 2026
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
Bayangkan ini, anda sedang mengejar kerjaya impian, menunaikan tanggungjawab harian, tetapi hati tetap meronta-ronta untuk menimba ilmu dan menambah kelayakan. Bagaimana caranya untuk belajar tanpa mengorbankan pekerjaan, masa bersama keluarga, atau rutin harian? Jawapannya terletak pada Pengajian Jarak Jauh (PJJ), cara pintar untuk melanjutkan pendidikan dengan fleksibiliti maksimum. PJJ bermaksud, kelas tidak lagi terpaku di kampus, kuliah boleh diikuti pada hujung minggu atau dari keselesaan rumah sendiri, dan tugasan disusun mengikut masa pelajar. Program ini membuka peluang kepada sesiapa sahaja untuk mengejar impian akademik tanpa perlu berhenti kerja atau mengganggu kehidupan seharian. Di Malaysia, PJJ bukan perkara baharu, sebaliknya sudah diperkenalkan sejak 1971 menurut Timbalan Pendaftar, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia (USM), Mohd Rashid Abdul Rejab. Mohd Rashid berkata, USM adalah universiti pelopor di negara ini yang menawarkan program Rancangan Pengajian Jarak Jauh (RPJJ), dan ia adalah program pengajian tinggi terulung yang membolehkan pelajar daripada pelbagai latar belakang merebut peluang pengajian tinggi sambil bekerja. "Dalam kalangan graduan pada hari ini, mahasiswa jarak jauh ini adalah graduan yang mengambil masa lebih lama dalam mod pengajian jarak jauh yang sedikit berbeza berbanding pelajar lainnya. "Justeru kebanyakan pelajar sudah memiliki kerjaya selain ada juga suri rumah dan warga emas. "Pengorbanan mereka yang bekerja dan mungkin yang sudah berkeluarga ini, sedikit sebanyak dapat menjadi contoh terbaik kepada orang lain dalam memburu cita-cita menyambung pengajian," katanya kepada BH. Pendidikan fleksibel Tambahnya, pendidikan adalah kunci penting ke arah bukan sahaja perpaduan, malah juga kemajuan negara. Hampir 54 tahun diperkenalkan, program itu merekodkan hampir 200,000 alumni dari 81 negara seluruh dunia, manakala majlis konvokesyen baru-baru ini turut meraikan 692 graduan RPJJ. Selain menjadi antara penyumbang utama kepada usaha 'Malaysian Massive Open Online Course' USM kini memperhebatkan penawaran kursus-kursus berbentuk dalam talian yang dapat ditawarkan secara 'stackable' tertumpu kepada kemahiran spesifik menerusi apa yang dikenali sebagai 'microcredential'. "Program ini menyediakan akses kepada pendidikan tinggi yang fleksibel bagi mereka yang tidak dapat mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka. "Ia juga peluang untuk mereka menimba ilmu di universiti belum berakhir. Malah sistem sedia ada membolehkan pembelajaran tanpa kehadiran fizikal di kelas, memanfaatkan teknologi digital untuk sesi pembelajaran. "Konsep utama RPJJ adalah fleksibiliti dalam akses terhadap proses pembelajaran yang membolehkan pelajar mengikuti pembelajaran dari pelbagai lokasi," katanya. Antara bidang yang ditawarkan di RPJJ USM termasuklah Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Sains dalam Biologi; Sains dalam Matematik; Sains Kemasyarakatan dalam Sains Politik; Sains Kemasyarakatan dalam Antropologi dan Sosiologi; Sains Kemasyarakatan dalam Ekonomi; Sastera dalam Sejarah; Pengurusan dalam Kewangan, Pengurusan dalam Pemasaran; Pengurusan dalam Strategi dan Pengurusan Organisasi. Selain USM, program jarak jauh turut ditawarkan di Universiti Utara Malaysia (UUM). Pengarah Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE), UUM, Prof Madya Dr Herman Shah Anuar, berkata universiti berkenaan menawarkan dua mod pengajian iaitu secara separuh masa dan Open and Distance Learning (ODL). "Terdapat lima program peringkat ijazah sarjana muda dengan kepujian ditawarkan UUM menerusi mod separuh masa dengan kebanyakan pelajar adalah mereka yang sedang bekerja. "Lima program itu ialah pengurusan awam, pentadbiran perniagaan, komunikasi,kewangan dan perbankan Islam serta pentadbiran muamalat manakala bagi ODL terdapat dua program ditawarkan iaitu pengurusan awam dan pentadbiran perniagaan," katanya. Tambahnya, bagi membolehkan pelajar mengikut pengajian, 12 pusat pembelajaran PACE UUM disediakan dengan pelajar tidak lagi perlu hadir ke kampus induk di Sintok, Kedah. Hal ini tegasnya membantu pelajar yang berada luar kampus induk mengikuti pembelajaran di lokasi yang berdekatan dengan kediaman masing-masing. Pembelajaran dalam talian Sehingga kini terdapat 12 pusat pembelajaran PACE UUM selain di Sintok, ia termasuk di Langkawi, Ipoh, Kota Bahru, Kuantan,Kota Kinabalu, Johor Bahru, Kuching,Sibu, Miri, Kuala Lumpur dan Melaka. "Pembelajaran di kelas-kelas ini menggunakan bahasa Melayu dengan pertemuan kuliah diadakan empat kali dalam satu semester manakala kuliah dijalankan sebulan sekali pada hujung minggu di 12 pusat pembelajaran. "Bagi program ODL pula, pelajar belajar mengikut masa sendiri dengan pengajian separuh masa ini 100 peratus di dalam talian dengan kelas, tugasan dan bahan pengajian sepenuhnya dalam bahasa Melayu "Kedua-dua program ini diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),"katanya. Jelasnya menerusi PSM UUM graduan boleh belajar sekali gus menamatkan pengajian sambil menggalas tanggungjawab kerja,keluarga dan kehidupan seharian. Sehingga kini, UUM sudah melahirkan seramai 18,777 graduan sejak tahun 2001 dengan 754 graduan pula menerima ijazah masing-masing pada konvokesyen ke-38 tahun lalu. Katanya di PACE UUM, sama ada ingin melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, mendapatkan sijil profesional atau mengikuti kursus pendek, PACE sentiasa komited menyediakan program yang fleksibel,berkualiti dan relevan dengan keperluan semasa supaya semua orang boleh belajar tanpa menjejaskan kerjaya dan kehidupan seharian. Selain USM dan UUM, universiti awam lain yang turut menawarkan program serupa termasuklah Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi MARA.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035