|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUALA LUMPUR: HELP University sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa, pemilik dan pengurusan bangunan bagi mengenal pasti punca insiden letupan ketika pelaksanaan kerja penyelenggaraan sistem penyaman udara di kampus universiti itu di Bukit Damansara, hari ini.
Universiti itu dalam satu kenyataan memaklumkan, bangunan terbabit akan kekal ditutup hingga siasatan rasmi selesai dijalankan.
"Sebagai institusi yang komited menyediakan persekitaran selamat bagi pelajar serta seluruh warga kampus, kami akan segera menjalankan pemeriksaan dalaman bagi memastikan keselamatan dan integriti bangunan lain di Kampus Bukit Damansara serta Kampus Subang Bestari.
"Kami ingin menegaskan operasi dan kelas di Kampus Subang Bestari akan diteruskan seperti biasa," katanya.
HELP University turut memaklumkan bahawa pihaknya bekerjasama rapat dengan pasukan perubatan bagi memastikan semua mereka yang terjejas, menerima rawatan dan bantuan sewajarnya.
Selain itu, katanya, pihak universiti juga berhubung dengan ahli keluarga mereka untuk memberikan sokongan dan bantuan diperlukan.
"Pelajar dan ibu bapa yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau bantuan, boleh menghubungi saluran komunikasi dalaman yang telah disediakan," menurut kenyataan itu lagi.
Menurut HELP University, pelajar dan petugas di kampus telah dipindahkan dengan segera mengikut protokol kecemasan sejurus insiden berlaku, sebelum pihak perkhidmatan kecemasan tiba tidak lama selepas dimaklumkan.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), manakala sembilan lagi cedera dalam kejadian letupan gas penyaman udara di sebuah universiti swasta kira-kira jam 11.40 pagi tadi
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, dipetik berkata mangsa terkorban adalah lelaki tempatan berusia 24 tahun yang juga seorang pekerja syarikat kontraktor.
Fadil berkata, letupan dipercayai berlaku di kawasan penyelenggaraan penyaman udara yang terletak bersebelahan kafeteria di tingkat empat universiti berkenaan. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |