|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| SERDANG: Program FlySiswa akan diperluaskan kepada empat kategori baharu tahun ini, sekali gus memberi manfaat kepada tambahan 6,278 pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA), kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Loke berkata, perluasan kategori itu membabitkan pelajar daripada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM), Universiti Separa Kerajaan (GLU) dan Institut Pengajian Tinggi Milik Kerajaan Negeri (IPTN).
Katanya, peluasan kategori itu membuktikan kerajaan prihatin terhadap kebajikan pelajar di negara ini untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.
"Jadi kita berharap pelajar yang layak dapat menggunakan inisiatif disediakan kerajaan, kerana pada tahun lalu hanya 80 peratus atau 44,741 pelajar yang guna baucar diberikan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Pengangkutan Siswa Madani dan FlySiswa 2026, di Universiti Putra Malaysia, di sini hari ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada FlySiswa akan diperluaskan kepada Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Loke berkata kerajaan belum bersedia membuat sebarang komitmen untuk meluaskan program itu kepada pelajar berkaitan.
Menurutnya, ini kerana IPTS membabitkan jumlah pelajar yang besar selain menghadapi kekangan tidak mempunyai data berpusat berkaitan maklumat pelajar.
"Saya tahu terdapat banyak permintaan untuk kita perluaskan program ini kepada IPTS, tetapi bilangan pelajar di institusi itu sangat besar, sekali gus menyukarkan kita untuk menganggarkan kos diperlukan.
"Tidak seperti IPTA, kita mempunyai data maklumat pelajar di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), namun IPTS tidak ada data berpusat.... jadi kita tidak boleh sahkan sama ada dia benar-benar pelajar yang melanjutkan pengajian di institusi itu atau tidak," katanya.
Dalam pada itu, Loke memaklumkan baucar FlySiswa bernilai RM400 tidak terhad kepada satu tiket penerbangan sahaja dan boleh digunakan beberapa kali mengikut nilai tambang.
"Kalau tiket RM180, baki boleh digunakan untuk penerbangan lain. Ada juga yang beli awal dan dapat tambang murah. Kita beri baucar, bukan tiket, supaya pelajar ada kebebasan merancang perjalanan mereka," katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |