|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Al-Iraqia dari Iraq sebagai langkah strategik memperkukuh kerjasama akademik, penyelidikan dan pembangunan pascasiswazah di peringkat antarabangsa.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata pemeteraian MoU tersebut khususnya melibatkan Fakulti Sains dan Matematik (FSM) dan selari dengan Pelan Strategik UPSI serta aspirasi BITARA universiti dalam memperluas penglibatan global yang memberi impak langsung kepada komuniti akademik.
"Kerjasama ini dirangka dengan teliti bagi menyokong petunjuk prestasi utama (KPI) UPSI dalam aspek pengantarabangsaan, penghasilan penyelidikan, mobiliti staf dan pembangunan pascasiswazah," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di bilik seminar FSM, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI.
Menurut beliau, kerjasama tersebut membuka peluang pelaksanaan penyelidikan bersama, penerbitan bersama dalam jurnal berindeks seperti Scopus, permohonan geran penyelidikan padanan serta penyeliaan bersama pelajar pascasiswazah di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).
Beliau juga memaklumkan bahawa MoU itu turut menyediakan peluang mobiliti berstruktur kepada staf akademik UPSI melalui penyertaan dalam program Profesor Pelawat dan Sarjana Pelawat, yang memberi pendedahan antarabangsa, pengukuhan jaringan penyelidikan serta pengalaman pengajaran di peringkat global.
Dari perspektif pascasiswazah, kerjasama tersebut menyokong pengambilan pelajar antarabangsa ke UPSI, dengan Universiti Al-Iraqia menunjukkan komitmen dalam memudah cara pergerakan pelajar, termasuk mendapatkan kelulusan pihak berkuasa berkaitan bagi membolehkan pelajar melanjutkan pengajian pascasiswazah di UPSI.
"Kerjasama ini membuka ruang kepada pertukaran pelajar dan staf, penganjuran persidangan bersama, seminar serta program pemindahan ilmu yang menyumbang kepada penjanaan pendapatan, penjenamaan akademik dan penglibatan antarabangsa yang mampan untuk UPSI," katanya.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Al-Iraqia, Prof Dr Khamis Awad Zidan merakamkan penghargaan kepada UPSI atas usaha berterusan yang membawa kepada pemeteraian MoU tersebut, sambil menyifatkan penganjuran bengkel bersama sebelum ini sebagai bukti jelas keberkesanan kerjasama praktikal antara kedua-dua universiti.
"Kejayaan bengkel bersama itu mencerminkan komitmen bersama terhadap kecemerlangan akademik dan menjadi asas kukuh kepada kerjasama yang lebih meluas.
Menurut beliau, kedua-dua universiti juga komited untuk melaksanakan kerjasama berasaskan keperluan sebenar melalui penubuhan jawatankuasa penyelarasan bersama, dialog berterusan serta lawatan akademik secara berkala.
Dalam pada itu, beliau mengesahkan komitmen penuh Universiti Al-Iraqia untuk melaksanakan MoU berkenaan dan memastikan kejayaannya demi masa depan kerjasama yang berterusan dan produktif antara kedua-dua institusi.
"MoU ini adalah langkah strategik ke arah memperkukuh kerjasama akademik dan penyelidikan jangka panjang berasaskan kepercayaan, profesionalisme dan manfaat bersama," katanya.
Hadir sama Pengarah Jabatan Strategik, Prof Dr Azmi Mohamed; Helmi Zaifura Abdul Rahman, Dekan FSM, Prof Dr Mohd. Faizal Nizam Lee Abdullah serta Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Prof Dr Mohd Izwan Shahril. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |