|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUALA LUMPUR: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus komited memperkasakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi penambahbaikan kemudahan serta pelaksanaan program mesra golongan itu, sekali gus memastikan kampus itu menjadi ruang pembelajaran yang inklusif untuk semua pelajar.
Naib Canselor UUM, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed, berkata usaha memperkasa pelajar OKU tidak terhad kepada penambahbaikan kemudahan fizikal semata-mata, malah turut merangkumi pembinaan platform latihan bagi membantu mereka lebih bersedia menjalani kehidupan berdikari melalui operasi Independent Living Centre (ILC) Permai.
"Pelajar OKU bertanggungjawab sepenuhnya terhadap diri sendiri dan wajar diberi penghormatan sebagai individu yang berperanan dalam masyarakat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau pada masa yang sama turut menyambut baik pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberikan pendidikan tinggi percuma kepada golongan berkenaan.
Katanya, pengumuman itu akan menjadi pemangkin kepada peningkatan penyertaan golongan berkenaan dalam pendidikan tinggi, khususnya di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Beliau berkata, penyediaan pendidikan percuma IPTA, politeknik dan kolej komuniti itu akan membuka peluang lebih luas kepada pelajar OKU untuk melanjutkan pengajian dalam bidang akademik dan teknikal di dalam negara.
Mengulas lanjut penambahbaikan yang dibuat kepada UUM, Ahmad Marthada berkata, ia termasuk menyediakan kemudahan asas seperti van yang dilengkapi kerusi khas, tandas dan lif mesra OKU, ruang parkir di setiap premis, laluan khusus dan 20 unit bilik di Inasis TM dan Inasis Petronas yang boleh memuatkan 40 pelajar OKU.
"Selain itu, bantuan khas turut diberikan merangkumi bayaran perkhidmatan rawatan kesihatan, peralatan perubatan termasuk kerusi roda dan kaki palsu serta perisian komputer untuk pembelajaran khusus pelajar OKU," katanya.
Beliau juga berkata, pihak pengurusan universiti turut bercadang meningkatkan kemudahan sedia ada termasuk menambah 20 unit lagi bilik OKU di pusat penginapan pelajar.
"Di UUM terdapat lebih 80 pelajar berkeperluan khas dan kita mahu menambah sebuah lagi kenderaan mesra OKU bagi tujuan pengangkutan ke kuliah atau perjalanan ke luar kampus.
"Paling utama, UUM akan mewujudkan Dana Khas Pengurusan Pelajar OKU, memandangkan buat masa ini pihak universiti menggunakan sebahagian daripada dana kebajikan yang disumbang oleh setiap pelajar berjumlah RM80,000 setiap semester.
"Jumlah ini bagaimanapun tidak dapat menampung keperluan untuk menambah baik prasarana pelajar OKU secara menyeluruh," katanya.
Ahmad Martadha berkata, dasar inklusif OKU di UUM turut diperkukuh melalui pembabitan aktif mahasiswa lain dalam aktiviti kesukarelawan dengan memberi merit kepada pelajar yang berperanan sebagai pendamping, pembimbing atau rakan sokongan mahasiswa OKU.
"Ia sekali gus dapat memupuk budaya empati dan kebersamaan dalam komuniti kampus kerana "Sistem Buddy" yang dilaksanakan ini, bukan sahaja membantu pelajar OKU menyesuaikan diri dengan ekosistem kampus tetapi memberi pendedahan kepada seluruh mahasiswa tentang kepelbagaian keperluan serta tanggungjawab sosial," katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |