Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
UMPSA
Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Asrol Awang
Title :25 graduan program Ijazah Dual UMPSA-BJTU sedia penuhi pasaran industri rel negara
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :10 Januari 2026
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN: Seramai 25 graduan daripada kohort kedua Program Ijazah Dual antara Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Beijing Jiaotong University (BJTU) berjaya menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan. Mereka terdiri daripada tujuh graduan jurusan Kejuruteraan Awam , 10 graduan jurusan Kejuruteraan Elektrik (Sistem Kuasa) dan lapan graduan jurusan berkaitan Kejuruteraan Mekanikal. Pencapaian itu selepas mengikuti pengajian selama dua tahun di UMPSA sebelum menyambung pengajian selama dua setengah tahun di BJTU, China, sekali gus menyokong agenda pembangunan industri rel negara. Majlis penyampaian ijazah disampaikan Presiden BJTU, Prof Dr Yu Zujun dan disaksikan Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias dan Timbalan Pengarah, Kluster Pembangunan Strategik Pelajar, Bahagian Pembangunan Modal Insan (BPMI), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Idayuwati Abdullah @Ab Rahman di Beijing, China, semalam. Sementara itu, Dr Yatimah berkata, bidang kejuruteraan rel dikenal pasti sebagai sektor strategik negara, khususnya dalam menyokong mobiliti mampan. Katanya, program yang diiktiraf dua negara itu direka khusus bagi memenuhi keperluan industri terhadap jurutera berkemahiran tinggi dalam teknologi moden, sistem keselamatan, pendigitalan serta piawaian antarabangsa. "Melalui pengalaman pembelajaran di UMPSA dan BJTU, graduan didedahkan kepada amalan terbaik antarabangsa, teknologi rel termaju serta persekitaran pembelajaran pelbagai budaya. "Ia sekali gus bersedia menyumbang dalam reka bentuk, operasi, penyelenggaraan dan inovasi mobiliti pintar. "Program kerjasama ini bukan sahaja memberi pendedahan global kepada pelajar, tetapi turut mengangkat nama UMPSA sebagai universiti teknikal berteraskan kejuruteraan dan teknologi berdaya saing di pentas dunia," katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, kejayaan program itu dibuktikan melalui pencapaian kebolehpasaran graduan yang memberangsangkan apabila kohort pertama seramai 45 orang mencatat kadar kebolehpasaran 100 peratus dan bekerja dalam bidang kejuruteraan terutama berkaitan industri rel. Katanya, pihaknya menghargai sokongan BJTU dan rakan penaja JPA dalam pembangunan modal insan negara serta ibu bapa dan keluarga graduan atas pengorbanan. "Program ijazah dual UMPSA turut mendapat sokongan dan tajaan daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA), Yayasan Terengganu dan lain-lain," katanya. Dalam pada itu, susulan kejayaan kerjasama itu, beliau berkata, UMPSA turut berbincang dengan Dr Yu untuk meneruskan kerjasama ke program dual ijazah tinggi (Sarjana dan Doktor Falsafah) dalam bidang logistik, pengurusan, teknologi maklumat (IT) dan Kecerdasan Buatan (AI). "Kerjasama ini akan turut disokong dengan geran padanan oleh kedua-dua institusi bagi calon dual secara penyelidikan," katanya.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035