Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :UMPSA
Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :-
Title :Program Ijazah Dual UMPSA sedia bakat kejuruteraan
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :26 Januari 2026
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUALA LUMPUR: Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh peranannya dalam pembangunan modal insan negara apabila melahirkan seramai 70 graduan Program Ijazah Dual hasil kerjasama strategik dengan Beijing Jiaotong University (BJTU), China, sekali gus menyokong keperluan tenaga mahir industri rel yang sedang berkembang pesat di Malaysia. Graduan berkenaan terdiri daripada 45 graduan perintis dan 25 graduan kohort kedua program ijazah dual yang direka khas bagi memenuhi keperluan industri rel negara, selari dengan pelaksanaan projek berskala besar seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Mass Rapid Transit (MRT) dan Transit Kereta Api Ringan (LRT). Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias, berkata program itu membuktikan keberkesanan kolaborasi antara universiti, industri dan rakan antarabangsa dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi serta bersedia memasuki pasaran kerja. "Program Ijazah Dual UMPSA bukan sekadar pencapaian akademik, sebaliknya berperanan sebagai pemacu pembangunan modal insan negara dengan melahirkan graduan yang benar-benar 'ready-to-work'," katanya. Beliau berkata, kejayaan kohort pertama mencatat kadar kebolehpasaran graduan 100 peratus, kebanyakannya dalam bidang kejuruteraan rel dan sektor berkaitan, membuktikan program itu relevan dengan keperluan industri semasa. Program berasaskan Pendidikan Rentas Negara (Transnational Education – TNE) itu dibangunkan secara bersama oleh UMPSA dan BJTU, dengan kurikulum bersepadu yang menekankan teknologi rel moden, sistem keselamatan, pendigitalan serta pematuhan piawaian antarabangsa. Melalui pengalaman pembelajaran di Malaysia dan China, graduan terdedah kepada teknologi rel termaju, amalan industri terbaik serta persekitaran akademik pelbagai budaya, sekali gus meningkatkan keupayaan mereka menyumbang dalam reka bentuk, operasi dan penyelenggaraan sistem rel moden. Yatimah berkata, program itu turut menyokong keperluan tenaga mahir tempatan bagi projek ECRL yang dijangka menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi Pantai Timur, khususnya di Pahang. "Penghasilan tenaga mahir tempatan melalui Program Ijazah Dual dapat mengurangkan kebergantungan kepada kepakaran luar dan menyokong aspirasi kerajaan negeri untuk memperkasa bakat anak tempatan," katanya. Selain itu, elemen pemindahan teknologi turut diperkukuh melalui latihan industri dan penempatan kerja di institusi serta industri rakan di China, termasuk pendedahan kepada automasi, kecerdasan buatan (AI), logistik pintar dan pembuatan berteknologi tinggi. UMPSA kini satu-satunya universiti awam yang melaksanakan 12 Program Ijazah Dual berasaskan model TNE, membabitkan rakan strategik dari Jerman, China, Korea Selatan dan Kazakhstan. Pelajar memperoleh dua ijazah daripada dua institusi berbeza, sekali gus meningkatkan daya saing global mereka. Program berkenaan juga menerima sokongan padu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui kerangka dasar dan pengiktirafan akademik, selari dengan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 yang memberi penekanan kepada pembangunan bakat berprestasi tinggi. Dengan rekod kadar bekerja graduan 99.1 peratus bagi tahun 2024, UMPSA dilihat berada pada landasan tepat dalam melahirkan graduan berkualiti yang bukan sahaja memenuhi keperluan industri, malah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan daya saing Malaysia di peringkat global.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035