|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus mengukuhkan kedudukan di peringkat antarabangsa apabila empat subjek pengajian tersenarai dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings by Subject 2026.
Subjek berkenaan adalah Perniagaan dan Ekonomi di bawah Fakulti Pengurusan Industri berada di kedudukan 301–400, Sains Fizikal ditawarkan di Fakulti Sains dan Teknologi Industri bersama Pusat Sains Matematik berada di kedudukan 501–600, manakala subjek Sains Komputer di bawah Fakulti Komputeran berada di kedudukan 601–800 dan Kejuruteraan membabitkan semua Fakulti Teknologi Kejuruteraan berada di kedudukan 601–800 seperti yang diumumkan THE, baru-baru ini.
Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias, berkata pencapaian itu mencerminkan keupayaan UMPSA dalam memperkukuh kualiti akademik, penyelidikan berimpak tinggi serta hubungan industri.
Katanya, ia sejajar dengan peranan universiti sebagai peneraju pendidikan tinggi berteraskan teknologi dan kejuruteraan.
"Pencapaian ini membuktikan usaha berterusan warga universiti dalam memperkukuh ekosistem akademik dan penyelidikan yang berdaya saing di peringkat global.
"Pada masa sama, ia mencerminkan komitmen berterusan UMPSA dalam memastikan kualiti pengajaran, penyelidikan dan inovasi sentiasa berada pada tahap terbaik.
"Kejayaan ini juga adalah hasil kerjasama strategik antara fakulti, penyelidik, industri serta sokongan padu seluruh warga universiti," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penarafan THE yang mengambil kira indikator seperti pengajaran, persekitaran penyelidikan, kualiti penyelidikan, industri dan perspektif antarabangsa menjadi penanda aras penting dalam menilai prestasi universiti di peringkat global.
Katanya, UMPSA akan terus memperkukuh kekuatan dalam bidang teras seperti kejuruteraan, sains gunaan, teknologi digital serta pengurusan industri bagi melahirkan graduan kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran industri masa hadapan.
"Dalam pada itu, UMPSA juga berbangga apabila di bawah Fakulti Pengurusan Industri berjaya memperoleh akreditasi antarabangsa sebagai Penyedia Latihan dan Pensijilan Lean Six Sigma daripada The Council for Six Sigma Certification (CSSC).
"Ia bagi program Yellow Belt sebagai institusi yang memenuhi piawaian antarabangsa dalam penyampaian latihan, penilaian dan pensijilan Lean Six Sigma," katanya.
Beliau berkata, kejayaan memperoleh akreditasi itu memberi manfaat buat pelajar Program Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Industri yang lulus peperiksaan khas Lean Six Sigma Yellow Belt akan layak menerima pensijilan rasmi daripada CSSC sebagai pensijilan profesional antarabangsa yang meningkatkan kebolehpasaran dan daya saing mereka di peringkat global.
"UMPSA merakamkan penghargaan tahniah kepada semua fakulti, pusat tanggungjawab serta seluruh warga UMPSA atas pencapaian yang membanggakan ini sekali gus memperkukuh reputasisebagai universiti teknikal terkemuka di Malaysia dan peringkat antarabangsa, katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |