|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUANTAN: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menyasarkan lantikan 30,000 penjawat awam tahun ini berbanding 25,000 lantikan pada 2025.
Pengerusi SPA, Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhammed Yunus, berkata jumlah itu berdasarkan peningkatan jangkaan permohonan baharu dan persaraan.
Katanya, pada dasarnya, setiap tahun jumlah pelantikan akan meningkat seperti yang dilaksanakan seperti tahun lalu membabitkan 25,000 lantikan dalam perkhidmatan awam persekutuan.
Meskipun permohonan bagi perkhidmatan awam mencatatkan penurunan kira-kira 200,000 pada tahun lalu berbanding 2024, beliau optimis jumlah itu kembali meningkat pada 2026 dan 2027.
"Jumlah permohonan kepada SPA merekodkan sekitar 1.2 juta pada 2024 manakala tahun lepas menurun kepada satu juta. Namun, kami menjangkakan jumlah itu dapat dikekalkan semula pada paras lebih satu juta pada tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas meninjau program Kembara Kerjaya MADANI SPA Kuantan, di sini hari ini.
Ahmad Jailani berkata penurunan permohonan bagi perkhidmatan awam itu disebabkan pelaksanaan syarat kelayakan baharu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang menetapkan kelayakan minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"(Syarat) SPM ke atas mengurangkan bilangan permohonan bagi mereka yang hanya memiliki Sijil Rendah Pelajaran (SRP), Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau kurang daripadanya," katanya.
Tahun ini, Kuantan dipilih sebagai lokasi pertama yang membabitkan tiga tempat iaitu Dewan Makmur Ar-Rahman, Perumahan Kastam Sultan Ahmad Shah, Pusat Temuduga SPA Kuantan dan sebuah hotel di sini yang dihadiri 1,500 orang.
Ahmad Jailani berkata, Kembara Kerjaya MADANI SPA adalah inisiatif berterusan SPA dalam usaha mendekati rakyat serta memberi pendedahan, galakan dan panduan kepada pencari kerja khususnya di Pahang untuk mendapatkan peluang kerjaya dalam sektor awam.
Katanya, program itu juga berperanan sebagai platform penghubung antara SPA dan masyarakat setempat dalam menyampaikan perkhidmatan secara terus dan bersemuka.
"SPA sentiasa komited untuk memastikan peluang kerjaya dalam perkhidmatan awam dapat di akses secara saksama seluruh rakyat Malaysia.
"Justeru, Program Kembara Kerjaya Madani ini menjadi medium penting dalam usaha mendekati pencari kerja serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan SPA secara inklusif dan berfokus kepada rakyat," katanya.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |