Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Bernama
Title :Pahang komited perkasa SMAN, setanding sekolah elit arus perdana - Wan Rosdy
Faculty :Astro Awani
Year of Publication :08/01/2026 20:45 MYT
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN: Pahang komited untuk terus memperkasakan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) agar setanding dengan sekolah elit arus perdana, melalui pelaksanaan anjakan paradigma pendidikan yang menyeluruh, berfokus dan berimpak tinggi. Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata sebanyak lapan resolusi dirumuskan menerusi bengkel Anjakan Paradigma Pendidikan SMAN anjuran Yayasan Pahang, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) serta Akademi Pahang 1st , yang menghimpunkan hampir 70 peserta terdiri pegawai JAIP, pengetua serta barisan pentadbir sekolah di sebuah hotel di Putrajaya. "SMAN tidak boleh sekadar berpuas hati dengan pencapaian sedia ada. Pelajar-pelajar perlu diasuh agar mampu bersaing setara dengan pelajar terbaik dari sekolah lain, manakala guru pula perlu terus diperkasa sebagai teras utama kejayaan pendidikan," katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata kejayaan bengkel itu tidak harus diukur melalui dokumen semata-mata, sebaliknya melalui perubahan sebenar dalam kualiti pengajaran, peningkatan prestasi murid serta kecemerlangan sekolah secara berterusan. Dalam pada itu, Menteri Besar itu berkata pihaknya akan terus memberikan sokongan penuh kepada SMAN termasuk dalam aspek pembangunan profesional guru, kemudahan fizikal, kurikulum, perjawatan serta pelantikan tenaga pengajar yang berkualiti. "Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan hampir RM75 juta setahun bagi belanja mengurus semua SMAN serta RM1.4 juta khusus bagi bayaran makan asrama sekolah di bawah seliaan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang," katanya. Wan Rosdy berkata sejumlah RM116.58 juta diperuntuk bagi pengoperasian semua sekolah agama di seluruh Pahang, manakala RM17.4 juta disediakan untuk pembinaan baharu dan penyelenggaraan sekolah-sekolah agama bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang kondusif. Beliau berkata pihaknya turut menaikkan elaun tambahan guru Al-Quran dan Fardu Ain asrama serta guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sebanyak RM100 seorang, selain mengurangkan yuran persekolahan dan asrama sekolah agama bagi meringankan beban ibu bapa. "Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri turut memperkukuh ekosistem pendidikan Islam melalui pemerkasaan institusi tahfiz, penubuhan Sekolah Rendah Agama Islam Negeri Pahang di Cameron Highlands, serta peruntukan RM20 juta bagi merealisasikan transformasi Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) kepada Universiti Al-Quran," katanya. Sementara itu, beliau turut mengharapkan kerajaan Persekutuan terus memberi perhatian dan sokongan terhadap semua sekolah menengah agama yang melaksanakan kurikulum kebangsaan, demi memastikan masa depan pendidikan Islam di Pahang terus cemerlang dan berdaya saing. "Dengan kerjasama erat semua pihak, saya yakin SMAN akan terus berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan institusi pendidikan terbaik di negara ini," katanya. -- BERNAMA  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035