Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :KOSMO!
Title :Anwar arah KPM teliti aspek persiapan RPN
Faculty :Kosmo
Year of Publication :23 Januari 2026
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pendidikan (KPM) supaya meneliti aspek persiapan berhubung Rancangan Pendidikan Negara (RPN) yang diumumkan sebelum ini. Ia termasuk persiapan bagi kemasukan prasekolah lima tahun dan Tahun 1 untuk kanak-kanak berusia enam tahun yang termaktub dalam pelan pendidikan itu. Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri dalam mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini. Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, Perdana Menteri mahu maklum balas segera berkaitan perkara itu daripada KPM. “Persiapan itu bukan sahaja melibatkan aspek pendanaan, malah Kementerian Kewangan juga diminta meneliti proses bagi mempercepat pelaksanaan mengikut tatacara yang rapi. “Pada masa sama, kerjasama rapat dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) juga turut ditekankan bagi menyiapkan bilik-bilik darjah baharu menggunakan sistem binaan berindustri (IBS) yang memerlukan penyelarasan dan kerjasama yang baik antara kementerian terlibat. “Selain itu, guru-guru juga perlu disiapkan melalui Institut Pendidikan Guru (IPG). Ini kerana kemungkinan berlaku penambahan pelajar Tahun 1 pada tahun hadapan, memandangkan terdapat kebarangkalian kanak-kanak berusia enam dan tujuh tahun berada dalam kohort yang sama, sekali gus memerlukan penambahan guru,” katanya.   Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata, Jemaah Menteri juga turut membincangkan permintaan daripada institusi seperti Maahad Tahfiz yang memerlukan guru-guru, khususnya bagi Tingkatan 1 ke atas, dalam persiapan pelajar mereka untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah. “Justeru, Perdana Menteri juga telah mengarahkan supaya KPM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperincikan penjelasan berkaitan laluan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi lepasan SPM, STPM dan laluan setara. “Ini termasuk laluan bagi pelajar daripada pelbagai sistem pendidikan seperti aliran Tahfiz dan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) selaras dengan pengumuman dasar yang telah dibuat sebelum ini,” katanya. Katanya, kenyataan lanjut mengenai perkara itu akan dikeluarkan oleh KPM dan KPT dan sesi taklimat media pula akan dijalankan minggu hadapan. Selasa lalu, Perdana Menteri mengumumkan bermula tahun depan, pendidikan prasekolah akan bermula pada usia lima tahun, sementara Tahun Satu pula bermula pada usia enam tahun. Bagaimanapun beliau menjelaskan, perubahan masih belum diwajibkan kepada ibu bapa bagi memberi ruang kepada pelbagai pihak bersedia kepada persekitaran baru pendidikan, khususnya warga pendidik. – KOSMO! ONLINE  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035