Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Hazelen Liana Kamarudin
Title :Pelajar UMK cipta penapis rawat air, rangkul emas cabaran inovasi kebangsaan
Faculty :Sinar Harian
Year of Publication :10 Januari 2026
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KOTA BHARU – Tiga pelajar Fakulti Sains Bumi (FSB), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mencipta kejutan apabila merangkul Anugerah Emas pada Water Filter Innovation Challenge 2026, sekali gus mengharumkan nama universiti itu di peringkat kebangsaan. Kejayaan tersebut diraih menerusi penciptaan sistem penapis rawatan air inovatif yang berupaya menurunkan kekeruhan air mentah secara signifikan serta meningkatkan kualiti air ke tahap lebih bersih dan sesuai untuk rawatan lanjut. Pertandingan berprestij itu dianjurkan sempena UKM Geoscience Carnival 2026 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor pada Jumaat, dengan pasukan UMK turut membawa pulang wang tunai RM2,000, piala dan sijil penghargaan. Pasukan pelajar FSB UMK itu dianggotai Amal Ahmad Fathan, Nur Anis Syakilla Abu Bakar Saari dan Nurul Syazwani Mohd Idrus, di bawah penyeliaan Pensyarah FSB UMK, Prof Madya Ts. Dr. Mohamad Faiz Mohd Amin. Menurut Mohamad Faiz, projek tersebut dibangunkan menerusi kursus Teknologi Rawatan Air yang menggunakan pendekatan pembelajaran berasaskan projek (project-based learning) bagi mendedahkan pelajar kepada cabaran sebenar berkaitan isu kualiti dan rawatan air bersih. “Pertandingan ini menjadi platform penting yang menekankan inovasi sains dan teknologi dalam pembangunan sistem penapisan air yang efektif, mampan dan mesra alam. “Pelajar bukan sekadar mempelajari teori, sebaliknya dikehendaki mereka bentuk, membina serta menguji sendiri sistem penapisan air secara praktikal,” katanya. Menurut beliau, sistem penapis yang dihasilkan menggunakan bahan kos efektif dan mudah diperoleh, sekali gus berpotensi diaplikasikan terutama di kawasan luar bandar dan komuniti yang berdepan masalah bekalan air bersih. “Keupayaan sistem ini menurunkan parameter kritikal kualiti air membuktikan inovasi pelajar mampu memberi impak sebenar kepada masyarakat. “Alhamdulillah, kejayaan ini menunjukkan bahawa bilik kuliah boleh menjadi tapak awal inovasi sekiranya pengajaran disusun secara berfokus, berstruktur dan berorientasikan penyelesaian masalah sebenar,” jelasnya. Tambah beliau, pelajar diberikan ruang untuk berfikir secara kritikal, menguji idea sendiri serta menambah baik reka bentuk berdasarkan data dan ujian lapangan, sekali gus membolehkan hasil inovasi itu bersaing di peringkat kebangsaan. “Kejayaan ini selari dengan aspirasi UMK untuk memperkukuh pendidikan berimpak tinggi, inovasi pelajar dan agenda kelestarian, khususnya dalam pengurusan sumber air dan alam sekitar. “FSB UMK akan terus memperkasa pembelajaran berasaskan projek dan penyelidikan gunaan bagi melahirkan graduan berdaya saing, inovatif serta mampu menyumbang secara bermakna kepada pembangunan mampan negara,” katanya.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035