Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Syajaratulhuda Mohd Rosli
Title :USM perkukuh edutourism, mobiliti pelajar antarabangsa pasca RPTM
Faculty :Sinar Harian
Year of Publication :28 Januari 2026
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
GEORGE TOWN - Selaras dengan hala tuju Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035, Universiti Sains Malaysia (USM) memperkukuh strategi pengantarabangsaannya dengan menekankan edutourism serta mobiliti pelajar antarabangsa yang lebih inklusif dan mampan. Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed berkata, pendekatan bersepadu itu bertujuan memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar antarabangsa dan tempatan melalui pembelajaran berasaskan pengalaman, keterangkuman serta kemampanan. Menurutnya, edutourism dimanfaatkan sebagai instrumen strategik khususnya dalam program mobiliti dan pengajian jangka pendek dengan memanfaatkan keunikan Pulau Pinang sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. “Kedudukan USM di Pulau Pinang menyediakan ekosistem pembelajaran yang unik dengan menggabungkan kekuatan akademik, warisan budaya, sejarah serta kepelbagaian komuniti setempat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. Beliau berkata, pendekatan itu membolehkan pembelajaran rentas budaya dilaksanakan secara autentik dan kontekstual melangkaui bilik kuliah sekali gus menyokong pembentukan pemahaman global, pemindahan ilmu serta jaringan akademik antarabangsa yang bermakna. "Pelaksanaan Mobility Matching Fund (MOMAF) berfungsi sebagai mekanisme pembiayaan padanan bagi memperkukuh kerjasama strategik USM dengan rakan universiti antarabangsa. “Inisiatif ini menyokong pelaksanaan program mobiliti seperti kursus jangka pendek, lawatan akademik, pertukaran pelajar dan kolaborasi institusi secara lebih sistematik. “Pada masa sama, MOMAF membuka peluang kepada pelajar tempatan untuk memperoleh pendedahan antarabangsa, meningkatkan kefahaman antara budaya serta membina keupayaan berinteraksi dalam persekitaran global,” ujarnya. Beliau menambah, pendekatan Internationalization@Home dilaksanakan bagi melengkapi mobiliti fizikal agar manfaat pengantarabangsaan dapat dinikmati secara lebih inklusif. “Melalui penglibatan pelajar antarabangsa dalam ekosistem kampus serta pelaksanaan aktiviti akademik dan kokurikulum yang mengandungi elemen global dan konteks tempatan, pengalaman antarabangsa dapat dibawa terus ke dalam persekitaran pembelajaran harian di USM,” katanya. Menurutt beliau, penyelarasan antara edutourism, MOMAF dan Internationalization@Home membentuk ekosistem pengantarabangsaan yang saling melengkapi dan berdaya tahan. "Pendekatan itu mencerminkan komitmen USM dalam menyokong aspirasi RPTM 2026–2035 bagi memposisikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi antarabangsa yang berkualiti, inklusif dan mampan," katanya lagi.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035