Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Bernama
Title :Sultan Pahang titah mangsa banjir hargai rumah percuma
Faculty :Sinar Harian
Year of Publication :09 Januari 2026
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
BENTONG - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati penerima rumah bantuan mangsa banjir Bulan Sabit Merah Emirates (ERC) dan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) supaya menjadikan kediaman itu selesa untuk seisi keluarga. Baginda bertitah, semua penerima juga perlu hidup dalam suasana muhibah dan harmoni selain menjaga kebersihan kawasan persekitaran kampung masing-masing. "Saya ingin menasihatkan supaya jagalah rumah percuma ini dengan sebaik mungkin, saya juga mengingatkan supaya tidak ada usaha untuk menyewakan ataupun menjual kediaman ini. "Walaupun kecil tetapi usaha ini besar sekali untuk kita semua dan kita harus berterima kasih serta bersyukur ke hadrat Allah," titah baginda ketika berucap pada Majlis Penyerahan Rumah ERC dan Ru’RASA bagi daerah Bentong di Kampung Sungai Perdak di sini pada Jumaat. Turut berangkat, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Pada majlis berkenaan, Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan kunci rumah kepada 32 keluarga membabitkan 28 rumah ERC dan empat rumah Ru’RASA di Kampung Sungai Perdak. Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam pembinaan rumah berkenaan bagi membantu mangsa yang ditimpa musibah banjir itu. Sultan Pahang bertitah, sebanyak 121 rumah ERC telah siap dibina, termasuk pembelian perabot dengan nilai keseluruhan berjumlah RM12.2 juta yang melibatkan tujuh daerah di Pahang.  Seorang penerima, Chow Loy Kee, 67, berkata, dia amat gembira menerima rumah berkenaan selepas terpaksa menghuni sebuah kontena milik anak saudaranya di satu kebun durian di Karak. "Saya hanya tinggal sehelai sepinggang apabila rumah yang saya huni berseorangan di sini roboh akibat banjir pada 2021. "Saya enggan menyewa rumah lain kerana nak menjimatkan perbelanjaan pada masa hadapan, apabila tinggal di kontena saya dapat duduk secara percuma," katanya. Chow mengakui, pemberian rumah berkenaan banyak meringankan bebannya selepas segala harta bendanya musnah dalam bencana itu dengan melibatkan kerugian lebih RM80,000. Seorang lagi penerima, M Kasturi, 48, menzahirkan rasa syukur dengan rumah yang diterima kerana sebelum ini dia dan keluarga terpaksa menyewa rumah lain. "Sebelum ini, saya terpaksa menyewa sebuah rumah selama empat tahun di Karak kerana rumah papan kami di sini musnah sama sekali akibat banjir. "Ketika kejadian itu, tiada yang dapat diselamatkan kerana air mencecah bumbung dengan cepat," katanya. Kasturi yang juga seorang peniaga mengakui, dia bersama suami, K Baskaran, 48, bersama tiga anaknya berusia antara 20 hingga 26 tahun, kini hidup selesa sejak menghuni rumah baharu itu sejak setahun lepas. - Bernama
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035