Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Bernama
Title :BM, Sejarah wajib untuk pelbagai aliran bukan keputusan muktamad kemasukan ke IPTA - Zambry
Faculty :Astro Awani
Year of Publication : 20/01/2026 21:08 MYT
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
PUTRAJAYA: Langkah mewajibkan pelajar sekolah pelbagai aliran termasuk yang menduduki Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) mengambil subjek Bahasa Melayu dan Sejarah merupakan langkah awal dan bukan keputusan muktamad bagi kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata langkah itu bukan hanya mengkhusus kepada UEC tetapi aliran yang tidak berteraskan kepada sistem pendidikan nasional termasuk sekolah antarabangsa, sekolah Arab dan sekolah agama. "Jadi, seluruh ekosistem itu perlu dipenuhi dulu bagi membolehkan pihak kerajaan membuat langkah seterusnya... ini sangat penting," katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini. Beliau berkata pendirian kerajaan ialah memastikan setiap keputusan dasar dibuat secara menyeluruh dan merangkumi semua aliran pendidikan, bukannya menyelesaikan isu untuk satu kelompok sahaja. Zambry berkata pendekatan seterusnya hanya akan diumumkan selepas rundingan komprehensif, termasuk libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan dasar kemasukan ke IPTA diselaraskan secara adil dan konsisten. "Kita akan lihat seterusnya apakah langkah-langkah yang akan dibuat termasuk di peringkat Kementerian Pendidikan (KPM), dan penyelarasan antara KPM serta Kementerian Pendidikan Tinggi akan dilakukan terlebih dahulu," katanya. Terdahulu, Anwar mengumumkan sekolah pelbagai aliran pendidikan termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama serta sekolah dalam aliran UEC diwajibkan mengambil subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dalam perkembangan lain, Zambry berkata 10 politeknik di seluruh negara akan dinaik taraf bagi menawarkan program peringkat Ijazah di bawah RPN sekali gus mengangkat kedudukan institusi itu daripada dilihat sebagai "pilihan kedua" kepada antara laluan utama pendidikan tinggi negara. Beliau berkata ketika ini, hanya tiga politeknik termasuk Politeknik Ungku Omar dan Politeknik Ibrahim Sultan menawarkan program Ijazah. Langkah itu, katanya turut membabitkan politeknik di Sabah dan Sarawak sekali gus memastikan peluang pengajian teknikal peringkat ijazah lebih tersebar serta tidak tertumpu di Semenanjung sahaja. -- BERNAMA  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035