|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUANTAN – Tahun 2026 ini mungkin menjadi kenangan paling bermakna dan tidak dapat dilupakan buat sepasang pengantin baharu apabila Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah secara spontan singgah ke sesi 'photoshoot' perkahwinan mereka di luar kawasan Istana Sri Udara di Temerloh.
Momen luar jangka itu berlaku ketika pasangan pengantin berkenaan sedang menjalani sesi fotografi perkahwinan di tepi jalan sebelum mereka sekadar melambai ke arah rombongan diraja yang melintasi kawasan tersebut.
Tanpa disangka, rombongan diraja memperlahankan kenderaan sebelum Baginda berdua berkenan untuk singgah dan menyantuni pasangan pengantin berkenaan.
Pasangan pengantin itu dilihat tidak mampu menyembunyikan rasa terkejut dan gembira apabila Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang turun dari kenderaan menyantuni mereka.
Detik manis itu tular di Threads selepas beberapa gambar dan klip videonya dikongsi pemilik akaun fatinsuhana_ dipercayai jurugambar pasangan itu.
Lebih mencuit hati,daripada rakaman tersebut, Al-Sultan Abdullah sempat berseloroh “kenapa tak cakap bergambar sini, kalau tau saya panggil naik istana”.
Rata-rata netizen meluahkan rasa terharu serta kagum dengan keperibadian Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang yang sentiasa berjiwa rakyat, malah menyifatkan pasangan pengantin itu sebagai sangat bertuah.
Momen spontan itu bukan sahaja menjadi kenangan peribadi yang sukar dilupakan buat pasangan pengantin berkenaan, malah turut menyentuh hati rakyat yang menyaksikannya, sekali gus mengukuhkan lagi kasih dan hubungan erat institusi diraja Pahang dengan rakyat jelata.
Sementara itu menurut sumber Istana, peristiwa itu berlaku sekitar jam 11 pagi pada Sabtu ketika Baginda berdua berangkat untuk ke majlis perkahwinan anak Naib Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Jengka.
Kebetulan ketika rombongan bergerak keluar dari Istana, baginda berdua nampak pasangan pengantin yang sedang bergambar di sekitar luar kawasan Istana melambai tangan.
"Baginda secara spontan menghentikan kenderaan dan berkenan menyantuni pasangan pemgantin baharu itu," katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |