Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Muhammad Afham Ramli
Title :SPRM manfaat kepakaran universiti berkait AI
Faculty :Sinar Harian
Year of Publication :12 Januari 2026
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
PETALING JAYA – Universiti di negara ini memainkan peranan penting sebagai rakan strategik dalam membantu penyelidikan berkaitan teknologi kecerdasan buatan (AI), tadbir urus dan pencegahan rasuah. Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM memberi fokus kepada bidang teknologi AI kerana ia dapat membantu membangunkan modal insan dalam bidang seperti forensik digital, analitik data dan etika teknologi. “Melihat kepada keperluan pada masa kini, SPRM perlu mendapatkan kepakaran daripada universiti dalam dan luar negara bagi meningkatkan keberkesanan usaha antirasuah. “Usaha-usaha ini tidak akan berjaya tanpa pelaburan berterusan dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan teknologi selain meningkatkan tahap kemahiran serta profesionalisme pegawai,” katanya pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Monash University Malaysia dan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) SPRM di sini pada Isnin. Beliau berkata, menerusi MoU ini, SPRM akan memanfaatkan gabungan kekuatan pengalaman praktikal MACA SPRM dan kepakaran akademik universiti berkenaan bagi menghasilkan penyelesaian yang inovatif, realistik dan berimpak tinggi. Tambahnya, sebagai contoh, Monash University Malaysia boleh membantu SPRM menambah baik sistem sedia ada dalam menyelesaikan kes-kes yang kompleks ketika ini sekali gus tempoh siasatan sesuatu kes dapat diselesaikan dengan cepat dan mengikut tempoh masa ditetapkan. Selain itu, jelas Azam, SPRM berharap dapat memperolehi geran bagi pembangunan teknologi AI menerusi kerjasama yang dimeterai antara MACA SPRM dan Monash University Malaysia. Sementara itu, Presiden dan Pro Naib Canselor Monash University Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman berkata, kerjasama ini dapat memberikan akses langsung kepada barisan hadapan serta mewujudkan satu platform kukuh untuk menterjemahkan kepakaran akademik kepada hasil praktikal yang relevan di peringkat nasional. Kata beliau, ia juga memberi peluang untuk menjalankan projek penyelidikan gunaan, dasar, latihan serta pengukuhan institusi khususnya membabitkan Pusat Pengajian Undang-Undang Komersial dan Kajian Kawal Selia, Monash University Malaysia. Turut hadir Pengarah Kanan MACA SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar; Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) SPRM, Datuk Idris Zaharudin serta Pengarah Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM, Datuk Mohd Zaki Hassan.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035