Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :KOSMO!
Title :Usah heret isu perkauman, bahasa hingga jejas pendidikan negara
Faculty :Kosmo
Year of Publication :24 Januari 2026
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
SEBERANG PERAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan dasar pendidikan negara tidak boleh terus diheret dengan perbincangan isu-isu yang memecah-belahkan masyarakat sehingga menjejaskan tumpuan terhadap mutu pendidikan dan masa depan anak-anak. Anwar berkata, walaupun isu kaum dan bahasa dalam pendidikan adalah penting, ia perlu diselesaikan segera supaya negara dapat memberi fokus kepada kualiti pendidikan dan pembangunan generasi masa depan. “Jangan diheret bincang soal-soal yang memecah belahkan kita, tak habis-habis. Soal kaum, soal bahasa ia penting, tetapi kena selesaikan segera dan tumpu masalah negara kita, masa depan anak-anak kita, mutu pendidikan mereka,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian bangunan baharu Hospital Seberang Jaya di sini, hari ini. Mengulas lanjut, Anwar berkata, hampir semua negara di ASEAN memulakan persekolahan formal pada usia enam tahun dan Malaysia tidak seharusnya ketinggalan dalam memastikan kanak-kanak bersedia lebih awal melalui pendidikan prasekolah. Sehubungan itu, Anwar berkata Kementerian Pendidikan telah mempercepat penyediaan kemudahan prasekolah percuma bagi kanak-kanak berusia lima tahun sebagai persediaan memasuki darjah satu pada usia enam tahun, namun pelaksanaannya buat masa ini tidak diwajibkan bagi menghormati pandangan ibu bapa. Dalam masa sama, beliau menegaskan keperluan penilaian awal murid, khususnya di peringkat darjah empat, bagi memastikan penguasaan asas membaca, menulis dan mengira serta penguasaan bahasa dapat dikenal pasti dan diperbaiki lebih awal. Sementara itu, mengulas isu aliran pendidikan, Anwar berkata, mana-mana pihak tidak seharusnya menyalahkan mana-mana aliran seperti UEC, sekolah agama rakyat atau sekolah antarabangsa, sebaliknya mencari penyelesaian secara menyeluruh dan adil.   “Kalau nak belajar aliran bahasa Arab, sekolah agama rakyat atau sekolah antarabangsa atau UEC boleh. Syaratnya mesti menguasai bahasa Melayu dan sejarah Malaysia. “Kalau kita berikan ruang itu dan dia terima syarat itu, kita kena berilah ruang dia boleh naik ke kolej dan ke universiti,” katanya. -KOSMO! ONLINE  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035