Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
Title :Hakisan pantai terus hantui rakyat
Faculty :Kosmo
Year of Publication :9 Februari 2026
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
HAKISAN pantai bukan perkara baharu di negeri ini yang terletak di tepi Laut China Selatan. Jika dahulu sedikit demi sedikit pantai berubah akibat hakisan, namun kini hakisan dilihat lebih agresif apabila mula menenggelamkan binaan, rumah dan jalan yang berada di daratan. Malah kalau dilihat di pantai-pantai peranginan terkenal seperti  Cherating, hakisan sudah menghampiri kawasan binaan dan kira-kira 10 lokasi pantai lain mengalami hakisan teruk. Jika kita melalui jalan Rompin-Pekan di sekitar Nenasi, dapat dilihat hakisan sudah menghampiri jalan dan hanya menunggu masa bertukar menjadi lautan. Isu hakisan pantai bukan perkara yang baru disedari tetapi telah lama diketahui. Namun isu ini hanya berlalu begitu sahaja, dan tidak nampak tindakan tuntas untuk menanganinya sehingga ada kawasan termasuk jalan dan binaan bertukar menjadi lautan. Projek pengawalan hakisan di pesisir pantai sepanjang 4.3 kilometer bernilai RM58 juta telah dilakukan di sekitar Tanjung Batu yang dijadualkan siap tahun ini, namun ia seolah-olah tidak memberi kesan apabila hakisan semakin teruk dan terus berlaku. Pemilik Chalet Kekunang Tering Edde Firdaus Abdul Aziz, 46, berkata, dia yang pada mulanya mengharapkan chaletnya dapat diselamatkan dengan projek berkenaan berasa begitu hampa apabila keadaan semakin teruk sehingga memusnahkan semua binaan chaletnya yang terletak di kawasan itu. Katanya, keadaan hakisan tidak berubah seolah-olah tiada apa yang dilakukan meskipun projek bernilai jutaan ringgit itu telah diumumkan dengan jadualnya siap tahun ini.   Dalam pada itu, Pengarah Kanan Centre for Climate Transition & Disaster Risk, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Prof Ir. Mohd. Faizal Jamlos berkata, masalah hakisan pantai masih berterusan kerana gabungan beberapa faktor utama termasuk fenomena  air pasang dan peruntukan kewangan terhad untuk membina tembok kekal sebagai pemecah ombak. Selain itu juga, keadaan arus Laut China Selatan yang berarus deras dan ombak besar terutama di musim tengkujuh setiap tahun mempercepat kadar hakisan pantai terutama di negeri ini. Justeru katanya, langkah untuk mengawal hakisan pantai tidak boleh ditangguh lama disebabkan hakisan sentiasa berlaku sama ada kuat atau perlahan. Katanya, kaedah batu penahan ombak antara kaedah yang telah dilaksanakan di Terengganu setakat ini dalam menangani isu berkenaan. Selain itu, kaedah tambakan menggunakan pasir sama ada pasir daripada daratan atau pun daripada laut dilihat tidak dapat menyelesaikan isu hakisan ini. Jelasnya, isu hakisan pantai bukan isu kecil yang hanya perlu dipandang enteng kerana ia semakin rakus merampas tanah yang menjadi kadaulatan negeri. Katanya, tindakan segera perlu dilakukan dengan melaksanakan projek yang betul-betul berkesan kerana jika tidak ia akan membazirkan duit rakyat yang banyak. Pemantauan terhadap projek perlu dilakukan bagi memastikan kerja-kerja dilakukan dengan betul yang dapat mengatasi hakisan, bukan sekadar untuk mengaut keuntungan daripada projek yang bernilai jutaan ringgit sahaja.  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035